PENGANJURAN program Selangor Youth Community (SAY) ASPIRE yang memasuki edisi ketiga pada tahun ini memberi pendedahan kepada golongan usahawan belia yang berpotensi untuk mengembangkan produk serta perkhidmatan mereka ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Rodzi berkata, tiga pemenang program itu antara lain memperoleh latihan serta bimbingan khas secara individu untuk mematerialisasikan impian mereka mendekati pelanggan antarabangsa.
"Kalau dilihat, kebanyakan peserta program ini kebanyakan sudah mencapai pendapatan mencecah jutaan ringgit.
"Bagaimanapun dari segi scale up perniagaan, kita tengok apa yang boleh dibantu dan kita sedar usahawan ini ada potensi untuk menembusi pasaran luar negara tetapi tidak tahu caranya," katanya kepada pemberita selepas program Pitch Finale Edisi Ketiga SAY ASPIRE pada Khamis.
Nurul Azwa berkata, golongan usahawan tersebut memerlukan bantuan dari segi coaching dan mentoring daripada pakar bidang pengeksportan untuk membantu mereka mengukuhkan perniagaan masing-masing.
"Sebahagian peserta program ini tidak meminta bantuan kewangan tetapi mereka perlu bantuan dari segi coaching dan mentoring tentang macam mana nak masuk pasaran luar negara.
"Oleh itu, kepada pemenang utama, mereka akan mendapat kursus bimbingan strategi eksport secara khas untuk bantu mereka memasarkan produk di peringkat antarabangsa," katanya.
NURUL Azwa berkata, pengambilan peserta untuk program edisi keempat tahun depan akan dibuat pada akhir tahun ini.
Berhubung penganjuran edisi keempat tahun depan, Nurul Azwa berkata, pengambilan peserta akan dibuat pada akhir tahun ini dengan golongan usahawan terpilih akan melalui tiga peringkat penilaian dan pembentangan.
SAY ASPIRE diwujudkan sejak tahun 2018 melalui agensi SAY milik Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Penganjuran edisi ketiga pada tahun ini mendapat kerjasama meluas daripada Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail selain tajaan Kumpulan Sunway Berhad dan Menteri Besar Selangor.
Sesi pitching atau pembentangan akhir SAY ASPIRE pada Khamis menyaksikan syarikat pakaian sukan Muslimah, Airaz Technologies Sdn Bhd memenangi tempat pertama menerusi produk Innersejuk.
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Avantcom International Sdn Bhd (produk penjagaan kulit bayi jenama Joielle Baby) dan Inonity Sdn Bhd (laman web e-dagang StoreUp).
Kesemua pemenang mendapat tajaan penerbangan ke luar negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan, peluang imbuhan dan pelaburan perniagaan dan rangkaian kolaborasi bersama agensi berkaitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram