Nilai eksport koko diunjur meningkat kepada 14 bilion pada 2022


  • Bizz
  • Jumaat, 14 Jan 2022

INDUSTRI koko Malaysia dilihat berpotensi besar untuk dieskport ke luar negara. — Reuters

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan eksport komoditi koko pada 2022 meningkat kepada RM14 bilion daripada RM7 bilion yang direkodkan tahun lepas, dipacu oleh potensi pasaran yang besar untuk komoditi itu di peringkat antarabangsa.

Menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, berdasarkan unjuran penggunaan produk koko global pada masa ini bernilai AS$120 bilion (RM501 bilion), KPPK telah merangka pelbagai inisiatif untuk mencapai sasaran nilai eksport itu.

"Industri koko ada potensi yang tinggi dan kita lihat Malaysia boleh mempelopori atau meningkatkan lagi pengeluaran koko untuk dieksport ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan iklan video komersial dan promosi koko, di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau berkata, selain penanaman koko dan melatih pengusaha tempatan mengeluarkan coklat, kementerian juga akan menumpukan kepada perniagaan pengisaran koko, iaitu buah koko diimport dan pengusaha mengisar sebelum mengekport semula dalam bentuk yang dihasilkan.

Sebuah hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor akan siap dibina dalam masa terdekat dan kewujudan hab itu akan merancakkan lagi eksport koko ke luar negara.

Zuraida berkata, di samping itu agensi KPPK, Lembaga Koko Malaysia, bekerjasama dengan syarikat animasi tempatan, Monsta Agency & Distribution, untuk pembikinan iklan video komersial berasaskan watak animasi Profesor Koko serta menampilkan watak animasi terkenal, Boboiboy.

Beliau berkata, iklan itu akan ditayangkan di saluran televisyen nasional untuk menyebarluaskan maklumat mengenai khasiat, kebaikan dan kegunaan koko serta memberi kesedaran mengenai amalan sihat pengambilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko dalam kehidupan seharian.

"Koko adalah berkhasiat dan bermanfaat dan boleh dikilangkan untuk menghasilkan beberapa produk lain, tetapi maklumat ini tidak sampai kepada masyarakat kita, jadi mereka tidak tahu.

"Koko selalu dikaitkan dengan coklat tetapi koko juga boleh (digunakan untuk) buat produk makanan dan bukan makanan seperti kosmetik dan bahan-bahan ubat yang berkaitan kesihatan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram