DI SEBALIK kekecohan mengenai harga barangan yang semakin naik, timbul pula desas desus yang mengatakan bahawa harga insurans kesihatan juga akan ditingkatkan.
Apatah lagi insurans kesihatan kini sudah menjadi sebahagian daripada keperluan masyarakat, sudah pasti perkara itu merunsingkan lagi fikiran rakyat, lebih-lebih lagi ketika berdepan pandemik Covid-19.
Namun, Majoriti difahamkan belum ada kepastian berkenaan dengan desas desus yang mengatakan harga insurans akan naik pada tahun hadapan.
Pengurus Agensi Insuran, Biak Alep berkata, harga insurans yang akan naik setiap tahun adalah insurans tradisional dan perkara itu sudah dimaklumkan pelanggan (client) sebelum menandatangani kontrak lagi.
"Cuma bila melibatkan insurans kesihatan dengan pelan pelaburan, ada kenaikan harga cuma tidak berdasarkan tahunan dan kenaikan juga tidaklah terlalu mendadak iaitu di bawah RM50.
"Kenaikan itu akan berlaku disebabkan dana dalam tabungan insurans berkurang kerana pengguna yang ramai dan perkara ini juga terpakai kepada semua syarikat insurans," katanya kepada Majoriti.
BIAK Alep berkata kenaikan kos perubatan yang akan memberi kesan kepada kenaikan harga insuran.
Menurutnya lagi, kenaikan harga barang tidak akan memberi kesan kepada harga insuran dan hanya kenaikan kos perubatan sahaja yang memberi kesan.
Namun katanya, hanya pihak hospital yang boleh menentukan kenaikan harga kos perubatan dan syarikat insuran cuma membayar mengikut bil yang dikeluarkan sahaja.
"Kalau hospital boleh kawal harga kos perubatan dengan rendah, sudah pasti harga insuran pun akan menjadi lebih murah," katanya.
Semantara itu, seorang ejen insurans yang enggan dikenali berkata pihaknya belum mendapat maklumat tentang kenaikan kos insurans pada tahun depan memandangkan kos itu telah dinaikkan pada tahun ini ekoran pandemik Covid-19.
"Kos insurans memang akan naik tapi bukan tahun depan. Mungkin tiga hingga lima tahun lagi.
"Kenaikan kos dan harga insurans biasanya bergantung kepada dana tabbarru dan inflasi perubatan," katanya.
Seorang lagi ejen insurans berkata, dia mendapat maklumat bahawa harga polisi perlindungan kesihatan itu akan naik tahun depan tetapi masih menunggu keputusan pihak atasan.
"Tahun ni memang ada kenaikan akibat pandemik dan mungkin tahun depan pun sama," katanya yang juga enggan dinamakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram