Penilaian risiko, SOP perjalanan umrah dimuktamad Februari


  • Primer
  • Rabu, 19 Jan 2022

HALA tuju industri umrah dibincang susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa. — Gambar hiasan

PENILAIAN risiko dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah khusus bagi garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, akan dimuktamadkan menjelang pertengahan Februari ini.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kesihatan (KKM), perkara itu adalah maklum balas daripada sesi libat urus kedua-dua kementerian itu bersama Persatuan Agensi Pelancongan (UMRAH) pada Rabu.

Libat urus yang dikendalikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin adalah bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

"Kedua-dua menteri dalam maklum balas mereka telah menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang,” katanya.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah serta isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan.

Turut dibincangkan ialah perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berharap agar semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MOTAC, KKM, umrah, pelancongan, SOP, Covid-19,