Musibah banjir: Kerajaan perlu fikirkan skim insurans bencana untuk rakyat — Lee Lam Thye


  • Massa
  • Ahad, 19 Dis 2021

SATU mekanisma dan pelaksanaan yang efektif perlu dibincangkan kerajaan bagi membantu rakyat terutama yang memerlukan ketika dilanda musibah banjir. — The Star

SKIM insurans bencana untuk rakyat Malaysia merupakan salah satu inisiatif yang boleh dipertimbangkan untuk meringankan beban mangsa banjir, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Menurut beliau, mengambil contoh bencana banjir, banyak kerugian yang dihadapi mangsa terutama kerosakan harta benda yang mana perlu ditanggung mereka.

lee lam hye 1

TAN Sri Lee Lam Thye merupakan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat — The Star

"Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa untuk membincangkan satu skim insurans bagi meringankan beban mangsa bencana terutama banjir yang setiap tahun melanda negara.

"Jawatankuasa ini juga boleh melibatkan syarikat dan pakar insurans bagi membentuk satu mekanisme dan pelaksanaan yang efektif bagi membantu rakyat terutama yang memerlukan," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, melalui skim ini, kerajaan boleh memberi pampasan kepada rakyat yang terjejas untuk mereka meneruskan kehidupan pasca bencana.

Sementara itu, Lam Thye turut berpendapat salah satu cara lain adalah dengan memberi subsidi untuk golongan sasar (B40) memiliki insurans bencana yang tersedia oleh syarikat insurans.

Katanya lagi, pemberian subsidi ini juga merupakan inisiatif yang baik dalam membantu golongan tidak berkemampuan untuk bersedia menghadapi musibah.

"Subsidi juga adalah kaedah yang mungkin boleh membantu memandangkan ada syarikat insurans yang menawarkan insurans bencana.

"Melalui pemberian subsidi ini, ia secara tidak langsung dapat membantu golongan memerlukan untuk menampung kos premium yang ditawarkan syarikat insurans," ujarnya.

Lam Thye turut mencadangkan bahawa syarikat insurans menerusi segmen tanggungjawab sosial (CSR) boleh melaksanakan satu inisiatif bagi menawarkan skim insurans bencana yang mampu dimiliki oleh rakyat.

Jelasnya, dalam hal ini, insurans bencana sudah menjadi satu keperluan dan rakyat Malaysia perlu memilikinya untuk persediaan buat musibah yang tidak diduga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Lee Lam Thye, insurans, bencana, banjir