MBSJ arah 17 premis di kawasan tanah runtuh henti operasi


  • Primer
  • Rabu, 26 Jan 2022

KEADAAN tebing longkang di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Seri Kembangan selepas kejadian tanah runtuh pada Selasa. — Bernama

SEBANYAK 17 premis berhampiran kawasan tebing longkang utama di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Seri Kembangan yang runtuh pada Selasa diarahkan memberhentikan operasi buat sementara waktu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan atas nasihat Jabatan Kejuruteraan MBSJ dan bomba.

"Pemilik premis diminta tidak berada berhampiran kawasan sehingga keadaan disahkan selamat.

"Kenderaan yang diparkir di kawasan tersebut juga diminta untuk dialihkan segera ke tempat lebih selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Azfarizal, pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tebing dengan serta-merta bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk.

Tambahnya, MBSJ juga akan mengenal pasti punca runtuhan dan merangka pembaikan segera.

Pada Selasa, lima kenderaan yang diletakkan di kawasan tersebut rosak selepas berlaku mendapan tanah.

Susulan itu, pekerja di 17 premis komersial telah dipindahkan selepas penilaian MBSJ di kawasan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram