MENGGUNAKAN laluan di antara dua kenderaan atau dalam bahasa pasarnya dipanggil 'cilok' adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan penunggang motosikal.
Malah, kelebihan 'mencilok' terutamanya di waktu puncak yang membuatkan lebih ramai pekerja terutamanya di ibu kota menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama ke tempat kerja.
Namun, 'mencilok' bukanlah sesuatu yang selamat dan sangat berisiko untuk berlaku kemalangan sama ada dalam situasi kenderaan sedang berhenti mahupun bergerak.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Mohamad Jamalee berkongsi pengalaman dan pandangannya berkaitan kaedah 'mencilok' yang sepatutnya digunakan penunggang motosikal.
Dimaki pengguna motosikal
Mohamad Jamalee berkata, sebelum ini dia pernah berdepan dengan kes kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu lori treler.
Katanya, kejadian berlaku di laluan dua hala berdekatan kawasan kampung dan ketika itu kelajuan trafik adalah dalam keadaan yang perlahan.
"Trafik ketika itu perlahan tetapi penunggang motosikal cuba juga untuk menyelit dan akhirnya handle motosikal telah terlanggar tayar belakang.
"Penunggang dan pembonceng kemudian terjatuh manakala motosikal mereka telah dilenyek lori. Mereka yang berada di kedai berhampiran kemudian telah memaki pemandu treler dan mengajaknya bergaduh.
"Saya yang menyaksikan kejadian itu telah memberitahu kepada orang ramai bahawa kemalangan itu bukan berpunca daripada pemandu lori sebaliknya disebabkan penunggang motosikal yang hilang kawalan," katanya.
Kasihan pak cik pemandu lori itu katanya kerana ketika itu dia sudah dikelilingi 10 ke 15 orang yang sedang berang dengannya.
Penunggang motosikal tidak dididik cara 'cilok' yang betul
Masalah itu menurut Mohd Jamalee adalah disebabkan tiadanya kesedaran mengenai cara 'mencilok' yang betul dan situasi boleh digunakan.
"Kesedaran mengenai bagaimana nak guna, dalam situasi apa boleh guna, di mana boleh guna, undang-undang untuk gunakan dan sebagainya tidak dididik serta dikuatkuasakan.
"Hasilnya penunggang motor, merasakan jalan garisan putih itu hak mereka dan boleh gunakan sesuka hati walaupun pada jalan sempit, jalan kampung yang berbahaya untuk memotong, jalan yang penuh lubang dan kebarangkalian untuk kereta mengelak lubang masuk ke jalan garisan putih itu tinggi," katanya.
Secara peribadi menurut Mohd Jamalee, dia merasakan yang kaedah 'mencilok' yang selamat adalah ketika kenderaan tidak bergerak atau trafik bergerak perlahan, di hentian lampu isyarat dan di atas jalan lebih dua lorong di mana kenderaan kiri dan kanan bergerak ke arah yang sama.
Jelasnya, 'cilok' tidak sesuai untuk keadaan di mana kereta bergerak laju, apatah lagi di jalan kampung dua lorong di mana kenderaan kiri dan kanan bergerak pada arah bertentangan.
"Kalau berlaku kemalangan yang pastinya ramai akan menyalahkan kenderaan besar walhal kalau dari aspek penglihatan yang tidak terhalang dan luas, penunggang motosikal lebih berkelebihan berbanding pemandu di dalam kenderaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram