KEKECEWAAN rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) antara faktor Barisan Nasional (BN) dijangka menawan semula negeri Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Prof Madya Dr Jeniri Amir.
Penganalisis politik itu berkata, kegagalan PH dalam mewujudkan kestabilan ketika pemerintahan selama 22 bulan sebelum ini, menjadikan pengundi di negeri itu ingin melihat kerajaan yang lebih stabil.
"Hanya dengan kestabilan sahaja, dapat dipastikan kemajuan dan pertumbuhan dari segi ekonomi dan kemakmuran rakyat Johor untuk terus bergerak ke hadapan," katanya kepada Majoriti.
JENIRI Amir berkata, Umno diberi keyakinan dan kekuatan oleh rakyat berdasarkan keputusan PRN Melaka bulan lalu. — Astro Awani
Berdasarkan sentimen dan situasi semasa BN dalam PRN Melaka bulan lalu, Jeniri berkata, komponen parti tersebut mempunyai keyakinan kuat untuk bertanding pada PRN Johor tanpa perlu bekerjasama dengan parti-parti lain.
Tambahan pula, katanya, parti itu berupaya membuktikan kecemerlangannya menerusi kekuatan dan keyakinan yang diberi rakyat ketika PRN Melaka.
"Jadi, berdasarkan rekod BN, maka rakyat akan memberi kepercayaan kepada mereka untuk terajui Johor menerusi latar belakang pengalaman yang luas untuk mentadbir negeri berbanding parti-parti lain, menjadikan BN ada kelebihan di situ," katanya.
Terdahulu, Timbalan Presidennya Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN Johor akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Umno.
Bagaimanapun, katanya, Umno Johor lebih cenderung untuk parti itu bergerak sendiri bersama Barisan Nasional (BN).
"Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor dan Pengerusi BN negeri lebih cenderung untuk berseorangan, jadi kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pusat dan akan diputuskan di Mesyuarat Khas MT,” katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, keputusan Umno Johor untuk bergerak sendiri dalam PRN Johor adalah langkah tepat, sekiranya parti itu bersedia menjanjikan manifesto yang boleh memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat Johor.
Pada masa sama, penganalisis politik itu menyarankan Umno Johor untuk mendirikan semula konsep Muafakat Johor, seperti yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Untuk rekod, Muafakat Johor adalah sebuah platform kerajaan Johor untuk menyantuni kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negeri itu.
SYED Agil berkata, Umno tidak harus menimbulkan 'hatred politic' terhadap parti-parti Melayu yang lain. — Sinar Harian
Selain itu, Syed Agil berkata, Umno Johor harus bangkit meyakinkan rakyat untuk memberi sokongan kepada parti itu, sebagai langkah bagi membersihkan sebarang isu yang boleh merosakkan imej dan reputasi parti tersebut.
"Saya percaya Umno masih terus di hati rakyat Johor sekiranya parti itu terus menyambung kerja keras memastikan rakyat Johor terus menikmati kemajuan dan mengelakkan politiking mengganggu pemikiran mereka.
"Umno Johor juga tidak harus menimbulkan 'hatred politic', yang sengaja menimbulkan isu untuk mendatangkan sifat negatif dalam kalangan rakyat Johor terhadap parti-parti Melayu yang lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram