KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta adiknya perlu membuktikan sumber kewangan mereka sewaktu membeli saham berkenaan.
Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tindakan tersebut wajar dilakukan selepas rakyat mendesak Azam memberikan penjelasan dan pembuktian berhubung pemilikan serta pembelian saham terbabit.
"Pendirian saya mudah sahaja seperti apa yang saya hantarkan dalam hantaran sebelum ini masa isu ini bermula.
"Ini kes Azam milik saham bernilai RM300,000 hingga RM600,000 selama tujuh tahun. Lalu dia beri alasan adiknya yang beli.
"Sekiranya mereka tidak boleh jelaskan dan buktikan sumber kewangan tersebut maka geng Pakatan Harapan (PH) akan lebih suka Azam diganti dengan pemimpin parti Umno seperti apa yang PH buat dengan Latheefa Koya semasa mereka menjadi kerajaan. Lepas diganti dengan pemimpin Umno, PH akan puas hati," ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Sabtu, orang ramai mengadakan perhimpunan #TangkapAzamBaki di ibu kota bagi mendesak agar beliau ditahan kerana didakwa menyebabkan integriti SPRM tercemar.
Najib turut mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin PH yang membuat protes dan tuntutan penjelasan serta mahu Azam ditangkap.
“Tidak takut Covid-19 pula semasa protes," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram