PAKATAN Harapan (PH) Johor tetap teguh dengan pandangan bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Dalam satu kenyataan bersama, blok pembangkang berkata, pelaksanaan PRN dianggarkan menelan belanja sekurang-kurang RM150 juta dan suatu pembaziran wang rakyat.
“PH Johor tetap berpendirian ketika ini bukan masa yang sesuai untuk mengadakan PRN, berikutan rakyat sedang berdepan pelbagai isu seperti pandemik Covid-19 meliputi varian Omicron, bencana banjir dan masalah ekonomi.
“PH Johor melihat tindakan Umno mencetuskan PRN Johor sebagai satu helah bertujuan mengambil kesempatan terhadap ramai rakyat negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi.
“Kerana itulah, PH sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Undangan Negeri (DUN), memberikan kerjasama supaya pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar,” kata PH Johor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara, Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Mereka juga mempersoalkan keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri apabila tempoh pentadbiran berbaki satu tahun lagi.
“Kenapa tidak tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil? Kami cukup yakin ini adalah kerisauan, hasrat dan nurani rakyat biasa ketika ini.
“Malangnya, Umno sedikit pun tiada rasa empati terhadap rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar.
“Ini adalah pilihan raya yang dipaksakan. Bagaimanapun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu sebagai persiapan untuk berdepan situasi berkenaan,” kata mereka.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Syed Ibrahim dari PKR berkata, pembubaran DUN itu berpunca daripada pertembungan kuasa dalaman dalam kalangan Umno.
“Di manakah janji untuk beri tumpuan bagi memulihkan ekonomi negeri dan rakyat selepas wabak?
“Pertembungan kuasa dalaman Umno yang sebenarnya membawa kepada pembubaran ini. Ia bukan ugutan daripada pembangkang.
“Demi kestabilan politik dan negeri, PKR Johor memberikan kerjasama terbaik kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad,” katanya.
Beliau berkata, walaupun parti itu teragak-agak untuk bertanding, PKR mematuhi pembubaran DUN kerana ia mendapat perkenan Sultan Johor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Iskandar.
“Kami telah membuat persiapan awal untuk menghadapi PRN dengan penubuhan jentera PRN, latihan dan kursus, penubuhan pusat operasi serta pelantikan penyelaras kerusi negeri dan Parlimen lebih setahun lalu,” katanya.
Pada Sabtu, Sultan Johor memperkenankan pembubaran DUN 56 kerusi, memberi laluan kepada PRN berlangsung.
Sebelum itu, baginda berkenan menerima menghadap Hasni di Istana Bukit Serene pada jam 5 petang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram