Pengantin baharu maut dirempuh di PLUS Alor Gajah, polis buru pemandu Persona


  • 112
  • Rabu, 19 Jan 2022

MOTOSIKAL milik mangsa yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan maut di Lebuh raya PLUS berhampiran Alor Gajah, Melaka. — Sinar Harian

SEORANG mekanik yang berkahwin awal Januari maut dalam kemalangan Kilometer 196.6 di Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan di Alor Gajah, Melaka pada malam Selasa.

Dalam kejadian 8.15 malam, mangsa Anwarie Azim Rozi, 23, yang menunggang motosikal Yamaha Y15Z dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melaka dari tempat kerja yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 47 tajun dari arah sama dipercayai telah hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa.

"Akibat rempuhan itu mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga," katanya pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemandu kereta diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram