Khaled Nordin sah tidak bertanding PRN Johor


  • Politik
  • Isnin, 24 Jan 2022

KHALED Nordin mengesahkan dirinya tidak akan bertanding dalam PRN Johor. — The Star

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Isnin mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengesahan tersebut sekali gus menepis desas-desus bahawa bekas Menteri Besar Johor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas itu membuat kemunculan semula pada PRN kali ini.

"Saya sahkan saya tidak mahu bertanding," katanya ringkas ketika dihubungi.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada hasrat beliau itu adalah bagi memberi laluan kepada calon muda, Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang itu berkata, perkara tersebut belum diputuskan lagi.

"Soal siapa calon itu parti akan putuskan nanti," katanya lagi.

Terdahulu, khabar angin tersebar bahawa beliau akan membuat kemunculan semula selepas memuat naik gambar bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ketika menghadap baginda di Istana Pasir Pelangi, Johor pada 14 Januari lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohamed Khaled kalah di kerusi DUN Permas kepada Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh (Bersatu) dengan majoriti 8,746 undi dan ditewaskan Hassan Abdul Karim dari PKR untuk kerusi Parlimen Pasir Gudang dengan majoriti undi 24,726. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mohamed khaled nordin, PRN johor