AMERIKA Syarikat (AS) pada Ahad secara rasmi mengarahkan ahli keluarga kakitangan kedutaan yang layak untuk meninggalkan Kyiv, Ukraine di tengah-tengah ketegangan berterusan antara Ukraine dan Rusia.
"Pada 23 Januari, Jabatan Negara AS membenarkan perjalanan secara sukarela pekerja warganegaranya serta ahli keluarga yang layak meninggalkan Kedutaan di Kyiv kerana ancaman berterusan tentera Rusia.
"Warga AS di Ukraine harus mempertimbangkan untuk berlepas sekarang menggunakan pengangkutan komersial atau persendirian yang tersedia.
"Situasi keselamatan di sekitar sempadan Ukraine, di Crimea dan di timur Ukraine yang dikuasai Rusia tidak dapat diramalkan dan boleh bertambah buruk dengan sedikit notis,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Kenyataan itu turut menambah terdapat laporan bahawa Rusia sedang merancang tindakan ketenteraan yang ketara terhadap Ukraine.
Rusia mengambil alih Semenanjung Crimea di Ukraine pada 2014 dan tindakan itu tidak pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa serta dikecam sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Rusia baru-baru ini menghimpunkan puluhan ribu tentera berhampiran sempadan timur Ukraine, mencetuskan kebimbangan bahawa Kremlin mungkin merancang satu lagi serangan ketenteraan terhadap bekas jirannya itu.
Namun, Moscow menafikan bahawa mereka sedang siap sedia menyerang dan berkata, tenteranya berada di sana untuk sesi latihan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram