BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk menjawab semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi (YAB).
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid, 69, untuk membela bela atas pertuduhan tersebut setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO itu.
Berikut adalah kronologi kes berkenaan:
19 Oktober 2018 - Ahmad Zahid didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.
14 Disember 2018 - Ahmad Zahid didakwa buat kali kedua di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik YAB.
20 Februari 2019 - Ahmad Zahid didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik YAB.
28 Februari 2019 - Mahkamah Sesyen memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah berkenaan untuk dibicarakan.
22 Mac 2019 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 8 Julai hingga 12 September 2019 untuk perbicaraan kes itu.
3 Mei 2019 - Mahkamah Tinggi melapangkan perbicaraan dari 8 Julai hingga 12 September 2019 untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, yang dijadual bermula dari 19 Ogos hingga dua minggu pertama November 2019.
Mahkamah menetapkan 18, 20, 21, 22 November dan 2, 3, 4, 5, 6, 9, 10, 11, 12,13 Disember 2019 untuk perbicaraan kes Ahmad Zahid.
3 Mei 2019 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid, supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk beliau mengerjakan umrah pada 9 Mei hingga 3 Jun 2019.
14 Mei 2019 dan 23 Mei 2019 - Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing menolak rayuan Ahmad Zahid bagi mendapatkan pasport untuk umrah.
18 November 2019 - Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bermula.
2 Mac 2020 - Pihak pendakwaan memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah susulan penangguhan perbicaraan pada hari tersebut selepas peguam yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan anak guamnya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan pada hari tersebut.
3 Mac 2020 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Zahid selepas beliau mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
22 Feb 2021 - Pasukan pembelaan Ahmad Zahid diminta menasihati anak guam mereka agar tidak menghadiri sebarang mesyuarat dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum perbicaraan berlangsung selepas kes rasuah itu ditangguh beberapa kali kerana beliau menjalani kuarantin.
19 Mac 2021 - Pendakwaan menutup kesnya selepas 53 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 99 orang saksi.
24 Ogos 2021 - Mahkamah Tinggi menyapina seorang doktor pakar daripada sebuah hospital swasta untuk menjelaskan di mahkamah keadaan kesihatan Ahmad Zahid kerana tertuduh tidak hadir pada perbicaraan kesnya.
Ahmad Zahid dilaporkan dimasukkan ke hospital susulan kecederaan yang dialaminya selepas terjatuh.
25 Ogos 2021 - Doktor pakar sebuah hospital swasta memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Ahmad Zahid ‘mungkin’ boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya pada 6 September.
6 September 2021 - Hujahan di akhir kes pendakwaan bermula. Ahmad Zahid hadir di mahkamah dengan memakai penyangga leher.
8 September 2021 - Hakim Mahkamah Tinggi memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes tersebut.
Amaran itu dikeluarkan susulan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah telah membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.
7 Oktober 2021 - Ahmad Zahid membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya yang mengalami sakit belakang dan leher ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.
11 Oktober 2021 - Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mengembalikan pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman.
6 Disember 2021 - Hakim Sequerah menetapkan 24 Januari 2022 untuk keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan selama 24 hari. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram