DUN Johor bakal bubar?


  • Politik
  • Sabtu, 22 Jan 2022

PRN Johor dijangka berlaku tidak lama lagi. — Gambar hiasan/The Star

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor dijangka bubar secara rasmi pada petang Sabtu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri berkenaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad dijadulakan bertemu dengan Raja Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada petang ini (Sabtu) berhubung pembubaran tersebut.

"Sebaik sahaja dokumen pembubaran ditandatangani, Speaker DUN kemudiannya akan dimaklumkan.

"Selepas itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan beri masa untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian di negeri ini," menurut beberapa sumber yang terdekat dengan perkara itu.

Dalam pada itu, Speaker Johor, Suhaizan Kayat ketika dihubungi berkata, setakat ini, beliau tidak mendengar sebarang perkhabaran secara rasmi, hanya melalui desas-desus.

Khabar angin tentang PRN Johor tercetus sejak kematian Ahli DUN (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian yang menyebabkan kerajaan memiliki majoriti satu kerusi.

Hasni mempengerusikan mesyuarat Umno Johor bersama kesemua 26 ketua bahagian di ibu pejabat parti tersebut di Johor pada pukul 2 petang.

"Agenda hari ini adalah semata-mata berhubung PRN," ujar sumber itu lagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Hasni Mohamad, PRN, DUN Johor, SPR