Usah pertikai tanggungjawab dan amanat penjawat awam


  • Politik
  • Rabu, 19 Jan 2022

AHMAD Faizal mahu semua pihak tidak mempertikaikan tugas penjawat awam. — Bernama

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyeru semua pihak agar berhenti daripada terus menggembar-gemburkan isu yang melibatkan penjawat awam demi agenda tersembunyi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, penjawat awam adalah tiang kerajaan dan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan agensi kerajaan yang gigih menjalankan amanat dilindungi daripada mereka yang mempunyai agenda kepentingan diri sendiri.

Kenyataan itu dilontarkan selepas ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

"Berdasarkan bukti yang dikumpul, SC tidak dapat memastikan secara muktamad jika terhadap pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA sudah berlaku.

"Azam juga sudah dimaklumkan oleh SC bahawa siasatan terhadap perkara itu dimuktamadkan dan SC menutup fail inkuiri tersebut.

"Maka dengan itu, saya berharap suara-suara yang berkeras untuk terus memainkan kes ini akur dengan keputusan SC dan menghormati autoriti SC yang menjalankan tugasnya tanpa sebarang campur tangan menurut undang-undang.

"Ini adalah kerana Pakatan Harapan (PH) sendiri yang menyarankan dari awal lagi supaya SC menyiasat Azam. Namun, apabila SC membuat keputusan, maka SC dipersoal," katanya.

Ujar Ahmad Faizal, tindakan PH itu seolah-olah memerangi penjawat awam yang berdedikasi dan komited menjalankan amanah mereka demi agenda politik.

"Ini bukan sahaja tidak tulus, malah bersifat tidak patriotik dan meruntuhkan semangat utuh perkhidmatan awam, sekali gus mengkompromi masa depan negara demi agenda politik semata-mata," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ahmad Faizal Azumu, Bersatu, PH, Azam Baki, SC, SPRM