Usahawan air kelapa dalam tin terpaksa lupakan Olimpik 2020


  • Bizz
  • Rabu, 29 Dis 2021

FAUZIAH Hussain bersama pelbagai produknya, Taze.

PANDEMIK Covid-19 sememangnya memberi impak yang luar biasa kepada para peniaga termasuk lah kepada pengusaha air kelapa dalam tin, Taze yang terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi salah satu produk di Olimpik Jepun pada 2020.

"Produk saya merupakan salah satu produk untuk di Olimpik 2020 tapi disebabkan pandemik Covid-19, saya terpaksa menangguhkan dahulu semua aktiviti eksport termasuk ke Dubai, China," kata Fauziah Hussain, Pengarah Urusan Taze.

Taze pure tender coconut water with nata decoco adalah campuran air kelapa muda asli dan nata decoco yang telah ditinkan dan telah melalui proses retort dengan mengekalkan rasa asli air kelapa.

Wanita berusia 42 tahun itu juga berkata, antara cabaran utama ketika pandemik adalah eksport untuk ke pasaran luar negara terjejas yang mana urusan eksport tidak dapat dilakukan kerana tergendala hampir setahun lebih ekoran penutupan pelabuhan akibat pandemik Covid-19 berleluasa pada tahun 2020.

Pengusaha yang berasal dari Kuala Lumpur itu memberitahu, sasaran pasaran produknya memang lebih kepada eksport, oleh itu pandemik yang melanda sangat menjejaskan perniagaannya.

"Apabila tiada aktiviti eksport yang lancar, maka setiap rantaian akan terganggu. Perkara itu menyebabkan kenaikan harga bahan mentah, lonjakan kos logistik yang hampir 100 peratus menaik dan menjejaskan harga pasaran. Kami terpaksa tengok semula harga tapi bila harga menjadi makin mahal, pembeli pula tidak ingin beli. Semua itu adalah cabaran," katanya kepada Majoriti.

Namun, beliau tidak berputus asa dengan perniagaannya yang mana ketika Covid-19, beliau mengambil alternatif berniaga atas talian di samping memperkenalkan produk baharu iaitu freeze dried (buah-buahan beku kering) berasaskan buah-buahan asli dan perisa air baharu.

"Sebagai alternatif bagi meneruskan kesinambungan perusahan, syarikat mengambil inisiatif mengeluarkan produk yang berasaskan buah-buahan tempatan yang menggunakan teknologi (freeze dried). Produk ini dipasarkan di dalam pasaran tempatan melalui platform atas talian seperti Shopee.

"Pembungkusan jadi lebih ringan yang mana sangat sesuai dijual di atas talian dan sesuai dengan cita rasa penggemar makanan ringan yang sihat.

"Produk baharu itu adalah makanan yang dikeringkan namun masih mengekalkan rasa buah-buahan. Produk seperti itu masih baharu di Malaysia namun di luar negara agak biasa," ujar usahawan itu yang sudah berada dalam industri perniagaan selama lima tahun.

Dalam pada itu, beliau juga akui bantuan dari kerajaan sangat membantu perniagaannya seperti dari Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan aspek pembungkusan pula dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad pun membantu untuk pinjaman melalui skim Bizwanita dan Bizbina," ujarnya.

Wanita itu sempat memberi nasihat supaya bagi sesiapa yang ingin memulakan perniagaan di zaman pandemik kini, mereka perlu kenal pasti sasaran pasaran dan perlu sentiasa bijak dalam menguruskan aliran wang terutama ketika waktu kecemasan.

"Jika sasaran tempatan perlu pastikan menjadi kegemaran orang tempatan. Jika luar negara, perlulah membuat kajian dahulu mengenai pasaran di negara berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, dia juga memberitahu Selangor International Halal Covention (Selhec) memang membantu kerana perniagaannya yang lebih kepada eksport yang menekan halal dan semua sedia maklum halal dari Malaysia sangat berkualiti dan dipandang dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram