SEBANYAK 500,257 pencari kerja berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 3 Disember lepas sekali gus melepasi sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu sangat bermakna memandangkan pasaran buruh telah menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan Covid-19 sejak Mac tahun lepas sehingga menyebabkan pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi iaitu 5.3 peratus pada Mei tahun sama.
Beliau berkata, antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP).
Menurutnya, melalui program PenjanaKerjaya 2.0, seramai 221,966 pekerja berjaya ditempatkan setakat 3 Disember sekali gus melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 peluang pekerjaan bagi 2021.
Menerusi MySTEP pula katanya berjaya melangkaui sasaran keseluruhan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini dengan menempatkan seramai 61,328 pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
"Daripada jumlah itu, seramai 41,680 orang telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala baki 19,648 orang ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, selain daripada PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.
Beliau berkata, seperti yang dibentangkan melalui Belanjawan 2022, kerajaan di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.
"Kerajaan melalui Perkeso akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion dan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.
"Kerajaan berharap usaha ini dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu bagi tahun hadapan,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif MySTEP dengan penawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
