JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen) berjaya menumpaskan sindiket pelacuran membabitkan penuntut universiti dari benua Afrika dalam serbuan di dua unit kediaman di sebuah servis apartmen di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Khamis.
Semasa serbuan mendapati, wanita Afrika yang sedang asyik melayan pelanggan terkejut menyebabkan salah seorang daripada mereka diserang panik sehingga menggeletar dan sukar bernafas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket tersebut dikesan mula aktif ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
"Dalam tempoh PKP lepas, Imigresen telah mendapat maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan dijalankan oleh wanita-wanita warga Afrika ini.
"Mereka mengenakan bayaran antara RM500 ke RM600 dan boleh mendapat pendapatan lumayan antara RM6,000 ke RM7,000 sebulan," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan, pada lewat malam Khamis.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menyewa hotel-hotel mewah dan servis apartmen secara berpindah randah serta hanya melayan pelanggan terpilih sahaja untuk mengelak dihidu pihak berkuasa.
"Cara kegiatan mereka sama seperti sindiket lain iaitu menggunakan aplikasi WeChat di mana tempahan akan dibuat terlebih dahulu manakala bayaran ada yang dimasukkan ke dalam akaun dan juga bayaran tunai," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram