Tahun Baharu Cina: Makan besar, ziarah dibenarkan tertakluk SOP


  • Primer
  • Rabu, 19 Jan 2022

HALIMAH (kiri) dan Ka Siong (kanan) menunjukkan garis panduan SOP Tahun Baharu Cina bagi tahun ini. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

JAMUAN makan besar bersama keluarga sempena malam Tahun Baharu Cina pada 31 Januari ini adalah dibenarkan, kata Kementerian Perpaduan Negara.

Walaupun tiada had bilangan individu pada majlis makan malam itu dinyatakan, menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, majlis makan malam itu dibenarkan untuk dihadiri ahli keluarga dan saudara terdekat.

Mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk perayaan Tahun Baharu Cina, beliau berkata upacara sembahyang khas di rumah ibadat pada 1 dan 2 Februari adalah dibenarkan, dengan mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Sementara itu bagi etnik Hokkien pula, mereka dibenar mengadakan sembahyang khas pada 8 dan 9 Februari depan di rumah ibadat dengan mengikut SOP ditetapkan.

Selain itu, sembahyang Chap Goh Mei pada 15 Februari turut dibenarkan.

"Walaupun rumah terbuka tidak boleh diadakan, majlis sambutan Tahun Baharu Cina boleh diadakan di mana mereka yang hadir adalah mereka yang mendapat jemputan.

"Sambutan tidak boleh diadakan dalam beberapa sesi dan tidak terbuka kepada orang ramai tanpa jemputan," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Halimah berkata, SOP asas perlu dipatuhi seperti memastikan tetamu mendaftar kehadiran mereka melalui aplikasi MySejahtera, mengimbas suhu dan memastikan pengunjung telah divaksin sepenuhnya.

Tarian singa, tarian naga dan tarian harimau boleh dipersembahkan dan tertakluk kepada SOP di bawah industri kreatif (Persembahan Langsung) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Sementara itu, Ka Siong menyifatkan pengumuman SOP berkenaan adalah berita baik kepada masyarakat Cina.

"Walaupun kita boleh meraikan perayaan, adalah penting kita terus mematuhi SOP demi keselamatan dan kesihatan semua orang," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram