Mufti persoal kesan dos penggalak


  • Massa
  • Selasa, 18 Jan 2022

Mohd Asri (kanan) menziarahi bapanya di hospital selepas keadaan warga emas itu menjadi lebih teruk setelah menerima dos penggalak. — Instagram

MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan kesan dos penggalak Covid-19 terhadap penerima vaksin selepas bapanya sendiri dipercayai mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

Mohd Asri menyatakan kebimbangan itu selepas bapanya dimasukkan ke hospital selama lebih seminggu berikutan keadaan kesihatannya dipercayai menjadi lebih teruk selepas mendapat dos penggalak vaksin Covid-19.

Menerusi satu hantaran di Instagram melalui akaun @drmaza_official pada Isnin, Mohd Asri berkata, bapanya muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang ketiga.

Menurutnya, seorang doktor menyatakan bapanya sekali lagi diserang strok di bahagian sensitif di kepala, namun punca masih tidak jelas sama ada berkaitan dos penggalak atau tidak.

"Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak? Saya tidak pasti.

"Hanya pakar yang dapat menjelaskan," katanya.

HANTARAN status Mohd Asri yang mempersoalkan kesan dos penggalak. — Instagram

Mohd Asri bagaimanapun tidak menyatakan bila bapanya menerima dos penggalak dan jenis vaksin yang diterimanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa KKM supaya memandang serius aduan mengenai AEFI dan menjalankan siasatan mengenai kesan sampingan vaksin terutamanya melibatkan kes vaksin didapati tidak sesuai kepada penerima.

Menurut Mohd Asri, dia bimbang selepas mengetahui beberapa kes penerima vaksin meninggal dunia selepas mendapat dos penggalak.

"Sebelum itu, ada juga orang yang rapat dengan saya yang menceritakan seorang bakal ahli jemaah umrah yang ambil dos penggalak sebagai syarat, namun tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal. Juga tidak pasti apakah punca sebenar. Kebetulan atau ada kaitan? Kena kajian pakar.

"Apapun, pihak KKM wajar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai. Ramai yang menyebut hal ini di sosial media. KKM kena ambil perincian setiap kes. Semoga Allah merahmati kita semua," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram