Najib digugurkan sebagai saksi dalam kes rasuah Rosmah


ROSMAH dibicarakan atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak. — The Star

PIHAK pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar di Sarawak menggugurkan Datuk Seri Najib Razak daripada senarai saksinya.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pembelaan tidak akan memanggil bekas perdana menteri itu, yang dijadual memberikan keterangan pada Isnin.

“Setelah menganalisis soal balas (Rosmah) oleh pihak pendakwaan, kami percaya keterangan saksi ketiga (Najib) hanya bersifat menyokong dan sifat menyokong telah pun dibuktikan oleh pihak pembelaan.

"Jadi atas sebab ini kami perlu menyusun semula strategi dan kami membuat keputusan untuk tidak memanggil Datuk Seri Najib," kata Jagjit.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa keputusan itu dibuat dalam perbincangan yang bermula pada Sabtu dan hingga lewat petang Ahad.

"Saya sekali lagi memohon maaf kepada mahkamah. Saya tahu Yang Arif mementingkan masa mahkamah, saya menerima tanggungjawab atas perkara ini," tambahnya.

Ketua pendakwa raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, keputusan untuk memanggil atau tidak memanggil saksi terletak pada pihak pembelaan.

“Terpulang kepada pembelaan untuk membuat keputusan, kami tiada apa-apa untuk diperkatakan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau menghargai permohonan maaf daripada pihak pembelaan.

Beliau menangguhkan prosiding kepada 4 Februari 2022.

Rosmah merupakan saksi pertama dalam kes pembelaannya manakala saksi kedua dan saksi terdahulu ialah Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 72, yang merupakan pegawai khas Najib yang menguruskan program harian Rosmah sebagai isteri Perdana Menteri ketika itu.

Rosmah dibicarakan atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Siti Azizah, yang kini mengerjakan umrah di Mekah, dijangka disoal oleh pihak pendakwaan pada 4 Februari. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram