Kecoh hampir 50 murid asrama di Kota Bharu positif Covid-19


  • Primer
  • Selasa, 18 Jan 2022

GAMBAR tular menunjukkan sekumpulan murid disyaki positif Covid menaiki sebuah bas milik Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan. — WhatsApp

SERAMAI 44 murid asrama sebuah sekolah di Jalan Embi di Kota Bharu, Kelantan dikesan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kluster Embi Telipot berkenaan telah diisytihar pada 14 Januari lalu dan pihaknya mendapati lebih 200 orang kontak rapat telah dikenal pasti.

"Sehingga Isnin, seramai 44 kes yang dikesan positif Covid-19 yang membabitkan kesemua murid asrama sekolah itu.

"Semua kontak rapat diminta menjalani kuarantin," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tular di aplikasi WhatsApp gambar yang menunjukkan sekumpulan pelajar berada berhampiran dengan sebuah bas yang dipercayai milik Jabatan Kesihatan Negeri di lokasi yang didakwa di sebuah sekolah di kawasan berkenaan.

Selain itu, turut tular makluman mengatakan kes berkenaan dipercayai melibatkan jangkitan ibu kepada seorang pelajar Tingkatan Enam yang dipercayai baharu sahaja pulang daripada mengerjakan umrah.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, dakwaan jangkitan berkenaan tidak benar memandangkan pihaknya masih belum ada keputusan sebenar varian yang melibatkan sampel ibu bapa pelajar berkenaan.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu dalam satu surat yang ditujukan kepada pihak sekolah berkenaan juga mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan sehingga 25 Januari.

"Kita cuma boleh sahkan yang ada ada kluster Covid-19 di sekolah berkenaan yang membabitkan pelajar asrama cuma siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan punca kes berkenaan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram