Selangor benar had maksimum masjid untuk solat Jumaat


  • Primer
  • Selasa, 18 Jan 2022

JAIS berharap agar ketetapan baharu ini, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda. — The Star

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri ini bagi menunaikan solat fardu Jumaat berikutan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak 1.0 meter.

"Berikutan perkenan terkini Sultan Selangor, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh jabatan ini kepada kesemua masjid dan surau terlibat dalam tempoh terdekat, untuk dilaksanakan pada hari Jumaat bertarikh 21 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata ketetapan baharu itu akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus, tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan jemaah solat Jumaat dibenarkan melalui ketetapan terakhir jabatan itu pada 1 November 2021.

"Sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru ini. Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard yang ditetapkan kepada para jemaah,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS berharap agar ketetapan baharu ini, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan mengerjakan solat Jumaat.

"Sayugia diingatkan bahawasanya hanya individu yang telah berusaha mendapatkan tempat bagi mendirikan solat Jumaat, lalu tidak berjaya, akan diangkat kefarduan jumaatnya selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenainya bertarikh 13 Jun 2020 dan 22 Julai 2020 yang masih dikekalkan sehingga kini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JAIS, solat jumaat, selangor, SOP, ruangan solat