SEORANG pemuda mendakwa bahagian dalam hidungnya mengalami jangkitan sehingga menyebabkan pendarahan selepas melakukan ujian calitan Covid-19 di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
Menerusi satu hantaran Facebook Syafiq Ali Matar pada Sabtu, pemuda itu berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan keadaan hidungnya selepas melakukan pembedahan selepas jangkitan tersebut.
Disebabkan kejadian itu, dia mendakwa terpaksa melakukan pembedahan sebanyak dua kali dan tidak dapat makan kerana rasa sakit di bahagian tekak.
"Ni kesan swab test aku... Doktor jolok macam mana entah, sampai kena pergi wad kecemasan.
"Tiga hari masuk wad, dua kali kena operate... Sampai sekarang tak dapat nak makan sangat sebab tekak perit.
"Dia masukkan tiub dalam tekak masa operate, takut tak dapat nak bernafas sebab lemas dengan darah yang keluar," katanya.
Hantaran yang tular di Facebook sejak Sabtu.
Pemuda itu turut menafikan dia pernah melakukan sebarang pembedahan di bahagian berkenaan sebelum ini.
Setakat ini, masih belum terdapat maklum balas daripada Hospital Tanah Merah atau Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram