Hutan Simpan Kledang jadi mangsa 'lanun rimba'?


  • Tular
  • Sabtu, 15 Jan 2022

GAMBAR tular sebahagian pokok balak dikumpul di sebuah lokasi dipercayai dalam kawasan Hutan Simpan Kledang. — Facebook

ISU pembalakan secara haram menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini berikutan bencana banjir besar yang melanda negara pada akhir tahun lalu.

Foto-foto hutan ditarah hingga botak memenuhi media sosial hingga timbul persoalan adakah aktiviti sedemikian sememangnya berlaku di sebalik penafian yang dibuat oleh pihak berkuasa.

Jika sebelum ini terdapat dakwaan berlaku aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Lentang di Bentong, Pahang, kini timbul dakwaan baharu mengatakan kegiatan sama juga berlaku di Hutan Simpan Kledang, Perak.

PERKONGSIAN dakwaan Shamsuddin mengenai aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kledang di FB Taiping Zone. — Facebook

Dakwaan itu dikongsi seorang pengguna Facebook, Shamsuddin Wahab melalui FB Taiping Zone yang mengatakan hutan simpan dalam daerah Kuala Kangsar itu menjadi lokasi pembalakan haram.

"Hutan simpan pun boleh dapat lesen untuk tarah...," tulisnya ringkas sebelum status itu dikongsi beberapa kumpulan Facebook lain hingga tular.

Turut tular ialah tiga keping gambar dengan salah satunya menunjukkan pokok-pokok balak siap dipotong dan ditanda dikumpulkan di sebuah lokasi.

WhatsApp Image 2022-01-15 at 18.29.31

GAMBAR papan tanda yang menunjukkan butiran nama dan nombor lesen syarikat yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pembalakan itu. — Facebook

Gambar lain yang juga tular ialah papan tanda antara lain menunjukkan butiran nama dan nombor lesen syarikat yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pembalakan itu.

Berkongsi hantaran tersebut, aktivis sosial, Dr. M. Karthigeyen menambah, kegiatan pembalakan itu menyebabkan haiwan liar kehilangan habitat semulajadi.

"Binatang liar tak datang kacau korang, kalau korang yang pergi kacau dulu," tulisnya.

Pada 8 Disember lalu, media melaporkan, Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa kira-kira 20 hektar kawasan Hutan Simpan Kledang berhampiran Chemor, telah digondolkan akibat aktiviti penebangan balak.

Presiden SAM, R Meenakshi dalam kenyataan berkata, daripada pemerhatian pihaknya mendapati kawasan pembalakan yang merupakan sebahagian kawasan Geopark Lembah Kinta itu telah dimusnahkan dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.

Kawasan pembalakan itu adalah sebahagian daripada keluasan 500.2 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong.

"Menjadi persoalan, pelesen kegiatan pengusahasilan (pembalakan) di bekas kawasan hutan itu ada mengemukakan dan mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum memulakan kegiatan pengusahasilan di kawasan kelulusan lesen iaitu 151.49 hektar itu?," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Hutan Simpan Kledang, pembalakan, banjir,