PELAJAR dari Kampung Pituru Timbang Taun, Kota Marudu di Kudat terpaksa berhimpit setiap pagi menaiki bot bagi menghadiri sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Mangkapon Pitas.
Menerusi gambar yang tular di media sosial, kira-kira 20 orang pelajar lengkap beruniform sekolah dilihat berada di atas bot bersaiz kecil itu tanpa memakai apa-apa alat keselamatan.
Salah seorang penduduk mengambil keputusan untuk menularkan isu berkenaan di media sosial selepas mendakwa tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa walaupun sudah beberapa kali rungutan disuarakan.
Menerusi hantaran di Facebook A Korn Korn, pemuda itu menyeru orang ramai supaya menyebarkan tentang masalah yang dihadapi pelajar-pelajar terbabit supaya mendapat perhatian pihak atasan.
"Kepada pihak berwajib, kami tiada pilihan lain terpaksa tularkan kes ini kerana sudah setahun lebih tiada tindakan.
"Tolonglah mana-mana pihak kerajaan dan NGO bantu beri bot lebih besar dan jaket keselamatan, jangan sampai nasi jadi bubur," katanya pada Khamis.
Menurutnya, surat permohonan bagi mendapatkan bantuan bot yang lebih besar serta jaket keselamatan sudah pun dibuat kepada pihak sekolah dan wakil rakyat kawasan, namun sehingga kini masih tiada tindakan daripada pihak terbabit.
Majoriti cuba menghubunginya bagi mendapatkan info lebih lanjut mengenai perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram