Penganggur di Kuala Selangor disyaki penggal kepala ibu sendiri


  • 112
  • Ahad, 16 Jan 2022

SUSPEK dilaporkan menetap di rumah itu bersama ibu dan bapanya. — Sinar Harian

SEORANG penganggur ditahan polis kerana disyaki memenggal kepala ibunya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat Kuala Selangor, Selangor pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Ramli Kasa, pihaknya menerima maklumat mengenai seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan anak lelakinya berusia 28 tahun pada kira-kira 5.45 petang.

"Anggota polis yang tiba di rumah tersebut menemukan mayat seorang wanita di ruang tamu selain terdapat kesan darah di dalam rumah.

"Kejadian disedari oleh seorang anak mangsa yang pergi ke rumah berkenaan selepas gagal menghubungi mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau lagi, apabila sampai di rumah, anak mangsa nampak keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut dengan kehadiran seorang daripada adik-beradiknya itu terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah

Kata Ramli lagi, suspek yang bersembunyi di dalam belukar tersebut kemudian berjaya ditahan dengan bantuan penduduk kampung.

"Pihak polis merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian, yang ditemukan di tandas rumah tersebut.

"Suspek menetap di rumah itu bersama ibu dan bapanya manakala adik-beradik lain menyewa di kawasan berhampiran," ujarnya.

Jelasnya lagi, hasil laporan awal ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek di Hospital Tanjong Karang mendapati dia positif terhadap methamphetamine dan amphetamine.

Suspek kini direman hingga 22 Jan depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, penganggur, lelaki, kepala, Kuala Selangor