Hutan Sungai Perdak, Telemong makin 'botak' ditarah


  • Tular
  • Khamis, 06 Jan 2022

KAWASAN yang dijadikan ladang hutan di Sungai Perdak, Telemong, Karak, Pahang. — Facebook/Khairul Anuar

AKTIVITI pembalakan di Pahang terus menjadi isu hangat di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Pelbagai foto dan video dikongsikan oleh warganet di media sosial menunjukkan 'kerakusan' manusia tidak bertanggungjawab 'merosakkan' alam flora dan fauna negara ini.

Pada Rabu, seorang pengguna Facebook, Khairul Anuar berkongsi beberapa foto menunjukkan situasi terkini di sekitar tapak perkhemahan Sungai Perdak di Telemong, Karak, Pahang.

"Pihak berkuasa kata tiada pembalakan di Hutan Simpan Lentang. Mata kami nampak lain di Sungai Perdak, Telemong, Karak.

"Pertama kali jejak sini pada 2015, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun akan datang berkelah di sini.

"Tempat ini dah pernah kena pembalakan sikit sebelum ini. Tapi antara 2019 dan 2021, mereka rancak membalak dan buka ladang hutan.

"Cepat saja mereka buat kerja sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Orang awam tidak boleh masuk hutan kerana perintah berkurung.

"Tak mustahil kayu-kayu yang ditinggalkan oleh pembalak dihanyutkan ke bawah, sekali dengan tanah runtuh, sekali gus menggandakan lagi impak banjir berdekatan kawasan hilir Sungai Perdak dan Sungai Telemong serta akhirnya ke sekitar pekan Karak," ujarnya.

Screenshot 2022-01-06 111703

FOTO keadaan kawasan hutan di Sungai Perdak pada 2019 dan 2021. — Facebook Khairul Anuar

Pada bulan lalu, Jabatan Perhutanan Pahang memaklumkan semakan di Hutan Simpan Lentang mendapati sisa kayu yang berselerak di atas Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong, Bentong, Pahang merupakan sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau serta Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu.

"Semakan mendapati berlaku kejadian kepala air di dua lokasi itu bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat berterusan selama tiga hari, bermula 16 Disember hingga banjir besar di Bentong pada 18 Disember lalu, yang disokong data taburan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran Bentong dengan mencatatkan bacaan purata 155 milimeter (mm) pada 18 Disember serta dikategorikan sebagai sangat lebat.

"Semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik yang membawa sisa sampah sarap terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul, akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai itu," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut mengesahkan tiada lesen dikeluarkan di kawasan di Hutan Simpan Lentang.

Jelas Ketua Pengarah JPSM, Datuk Mohd Ridza Awang, berdasarkan rekod memang tidak ada pembalakan di Hutan Simpan Lentang iaitu kawasan yang terhampir dengan beberapa penempatan penduduk terjejas bencana banjir lumpur disertai timbunan kayu pada 18 Disember lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram