'Mansuh Pendidikan Islam? Kita bukan hanya mahu lahirkan doktor, jurutera'


  • Massa
  • Sabtu, 15 Jan 2022

ANAK-ANAK perlu diajar mengenai perihal aqidah sejak mereka kecil. — Gambar hiasan / Bernama

CORAK pemikiran sebahagian generasi terkini yang mahu agar mata pelajaran Pendidikan Islam dimansuhkan daripada silibus teras menampakkan cara berfikir yang mula melihat agama bukanlah perkara asas perlu diterapkan dalam jiwa anak-anak.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi berkata, penerapan nilai tauhid sedemikian pada hakikatnya membentuk jati diri anak-anak Muslim.

Ini katanya penting agar kerangka pemikiran mereka berada dalam acuan tauhid dan bukannya sosok Muslim yang berkiblatkan ideologi liberal atau sekular yang memisahkan elemen agama.

"Benar, kita ingin melahirkan lebih ramai doktor dan jurutera, namun kita bukan sekadar ingin melahirkan tenaga pakar yang mengejar dunia semata-mata malah kita perlukan profesional berjiwa Islam yang mempunyai visi akhirat.

"Muslim berjiwa tauhid akan menolak elemen yang rosak terhadap diri, masyarakat dan negara dan mengangkat Islam sebagai tunjang kehidupan di negara ini. Semoga Allah membimbing kita," katanya di Facebook pada Sabtu.

HANTARAN status Ahmad Sanusi berhubung keperluan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam silibus. — Facebook

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan seorang individu yang berpendapat sekolah tidak sepatutnya dijadikan sebagai pusat ajaran agama sebaliknya memfokuskan kepada subjek penting dan perlu sahaja.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, Nabi Muhammad juga dilihat mengajar anak-anak tentang perihal aqidah sejak mereka kecil.

Menurutnya, Al-Imam al-Bukhari merekodkan bagaimana Nabi Muhammad menggunakan pendekatan kasual dalam mendekati Ibn Abbas (seorang budak kecil) dengan kefahaman aqidah.

"Rasulullah dikatakan mengajar Ibn Abbas tentang perkara aqidah ketika Baginda menunggang tunggangannya bersama Ibn Abbas.

“Wahai anak! Sesungguhnya aku ajarkan kepadamu beberapa perkara. Jagalah ALLAH, maka ALLAH akan memelihara engkau. Sekiranya engkau ingin meminta sesuatu, maka mohonlah bantuan dari ALLAH.

"Lihatlah, betapa anak kecil ini sudah mula diberikan didikan oleh Nabi dengan perkara aqidah," tulisnya.

Beliau berkata lagi, Al-Imam Ibn al-Qayyim menggambarkan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka.

"Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. (Tuhfah al-Maudud)," katanya.

Tambahnya, al-Imam al-Bayhaqi merekodkan bahawa Rasulullah berpesan kepada Ibn Abbas dan Ibn Amru (riwayat Ibn al-Sunni), bahawa perkataan pertama yang seharusnya diajarkan kepada anak kecil adalah kalimah tauhid.

“Ajarkanlah atau jadikanlah perkataan pertama pertama anak kecilmu perkataan Lailahaillah. Dan ajarilah mereka saat kematian mereka juga perkataan Lailahaillah. (Shuab al-Iman)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram