Penerbit berita Bernama Radio meninggal dunia


  • Primer
  • Jumaat, 14 Jan 2022

Arwah sebelum itu mengalami demam pada Selasa sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. — Bernama

PENERBIT berita radio Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Farrah Idzana Hashim, 36, meninggal dunia akibat radang jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Khamis.

Abang Allahyarham, Fahmi Affendi, 41, berkata adiknya menghembuskan nafas terakhir pada 10.40 malam.

Beliau berkata, adiknya yang masih bujang itu mula mengalami demam pada Selasa dan dibawa ke klinik untuk rawatan sebelum ke Hospital Pakar KPJ Rawang.

"Pemeriksaan di KPJ Rawang mendapati ada jangkitan di jantung Farrah dan kami membuat keputusan untuk membawanya menerima rawatan di IJN kira-kira 6.30 petang pada Khamis. Menurut IJN, Allahyarham meninggal dunia akibat radang jantung," katanya ketika dihubungi Bernama.

Fahmi Affendi berkata, jenazah adiknya masih ditempatkan di IJN bagi menjalani prosedur operasi standard (SOP) sebelum dituntut oleh keluarga dan dijangka proses tersebut selesai kira-kira 2 petang pada Jumaat.

Katanya, jenazah akan disolatkan di Surau As-Siddiqin, Rawang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Sementara itu, Pengurus Berita Bernama Radio, Endok Baleana Bachok berkata, Farrah Idzana disifatkan sebagai seorang yang menyenangkan dan profesional dalam bekerja.

Menurutnya, Farrah memulakan perkhidmatan di Bernama Radio pada 2012 sebagai wartawan penyiaran.

"Allahyarham bukan sahaja penerbit berita tetapi juga penerbit program Jendela Fikir dan pemergiannya memang satu kehilangan mengejut untuk kami semua," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram