AEON tampil koleksi eksklusif Melinda Looi sempena Tahun Baharu Cina


  • Bizz
  • Khamis, 13 Jan 2022

KOLEKSI eksklusif pereka fesyen terkenal, Melinda Looi bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang terdapat di AEON.

BAGI memberi pengalaman kepada orang ramai untuk merasai gabungan warisan dan fesyen terbaik, Aeon Co. (M) menampilkan koleksi eksklusif pereka fesyen terkenal, Melinda Looi bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Koleksi #MelRoars itu diilhamkan melalui gaya dan penghormatan Tahun Harimau dengan tiga jenis corak inspirasi Panthera Tigris.

Corak itu digabungkan dengan pengaruh peranakan: jalur inspirasi batik eksentrik, corak geometri jubin peranakan yang terserlah dan penjajaran corak bunga klasik yang halus dengan ekspresi harimau yang tersembunyi.

Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON, Low Ngai Yuen berkata, bersempena dengan sambutan kali ini juga, pihaknya merancang untuk menampilkan Koleksi #MelRoars dipadankan dengan sambutan musim terbaik AEON.

"Melinda Looi adalah Presiden Malaysian Official Designers Associations (MODA) dan peluang bekerjasama dengan beliau bukan satu kebetulan.

"Rekaan bentuk avant-garde dan gaya retronya didokumentasikan dengan baik, Koleksi #MelRoars memberikan sentuhan warisan yang tersendiri untuk musim perayaan ini dan ia melambangkan kebanggaan kami," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pertunjukan fesyen Koleksi #MelRoars itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi AEON, Sunny Setiawan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Specialist Centre, Sandy Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif IoIi Communications Sdn. Bhd., Yan Lim.

Koleksi #MelRoars boleh didapati di 11 cawangan AEON di seluruh Malaysia di Taman Maluri, Bandar Utama, Mid Valley, Bandar Puchong, Metro Prima, Seremban 2, Tebrau City, Cheras Selatan, Queensbay, Bukit Tinggi, dan Bandaraya Melaka serta dalam talian di AEON Lifestyle. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bisnes, bizz, aeon, melinda looi, fesyen