Bapa tiga anak di Pasir Puteh 'terduduk' tengok kereta terbabas, rumah terbakar


  • Massa
  • Khamis, 13 Jan 2022

MANGSA kehilangan kereta, motosikal, basikal dan semua harta benda dalam sekelip mata apabila rumahnya di Kampung Nara terbakar pada Rabu.

SUDAHLAH kereta terbabas, terpaksa pula berlari sejauh satu kilometer (km). Itu kepayahan yang perlu ditempuh oleh seorang lelaki untuk pulang ke rumah di Kampung Nara di Pasir Puteh, Kelantan pada Rabu selepas mendapat panggilan telefon mengatakan kediamannya terbakar.

Khairul Hakimi Mat Din, 40, menyifatkan apa yang berlaku amat mengejutkan kerana sebelum kejadian dia baru sahaja pulang ke rumah.

"Siapa yang tidak terkejut apabila mendapat tahu rumah, kereta, motosikal, basikal dan semua harta benda lain musnah sekelip mata.

"Sebelum kejadian sekitar jam 1 petang saya ada pulang ke rumah untuk menukar kereta Proton Wira kepada Perodua Myvi dan kemudian kembali semula ke tempat kerja. Tetapi apabila hendak menaiki Myvi saya dapati kunci yang dibawa ialah kunci Wira," katanya pada Khamis.

Menurutnya, disebabkan itu dia melupakan hasratnya untuk menaiki Myvi ke tempat kerja.

Katanya, selang 45 minit kemudian dia menerima panggilan telefon daripada adiknya memberitahu ada kebakaran di rumah.

Khairul Hakimi berkata, bagaimanapun dia bersyukur semasa kejadian tiga anaknya yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun berada di kedai bersama isterinya.

Dia turut reda kehilangan kereta Myvi yang masih berbaki dua tahun pembayaran serta harta benda lain. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram