Tertipu suara 'anak' menangis di telefon, bapa di Kuantan rugi RM20,000


  • 112
  • Khamis, 13 Jan 2022

MANGSA dihubungi individu tidak dikenali menyamar sebagai polis tanpa menyedari ia hanya umpan sindiket penipuan. — Gambar hiasan

SEORANG bapa sanggup menghabiskan wang simpanan RM20,000 demi membebaskan anaknya yang ditahan 'polis' kerana memiliki dadah.

Malangnya, niat baik bapa berusia 60 tahun itu berakhir dengan kerugian apabila kes tangkapan anaknya itu hanya umpan sindiket penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi individu tidak dikenali menyamar sebagai polis pada Rabu memaklumkan anak lelakinya ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kuala Lumpur ekoran penemuan dadah dalam kaki seluar.

Menurutnya, mangsa diarahkan membayar RM50,000 bagi menyelesaikan kes itu sebelum anaknya boleh dibebaskan.

"Mangsa diberi peluang bercakap dengan anaknya itu namun dia sendiri tidak pasti suara yang bercakap sambil menangis itu anaknya atau orang lain.

"Mangsa berjaya diperdayakan apabila dia sedia untuk membuat bayaran bagi melepaskan anaknya itu namun dia tidak mampu menyediakan wang dalam jumlah yang diminta.

"Mangsa memaklumkan hanya ada RM20,000 dan semua wang itu telah dipindahkan ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan perkembangan anaknya namun gagal kerana panggilan telah disekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram