Bunuh pemandu e-hailing di Kepong, dua beradik berdepan hukuman mati


PEMBUNUHAN didakwa dilakukan di bahagian belakang sebuah kelab di Kepong, Selangor pada 28 Disember lepas. — The Star

ENAM lelaki termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di tempat letak kenderaan bahagian belakang sebuah kelab di Kepong, Selangor pada 28 Disember lepas.

Teng Cheng Heng, 22, Chew Jun Seng, 22, Yohannes Isaac Anak Luwang, 21, Won Kok Wei, 20, serta dua beradik iaitu Ng Zhang Jing, 24,dan Ng Zhang Le, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lelaki itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa membunuh Mohd Farid Abdullah, 29, pada 1.35 pagi, 28 Disember lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip manakala Peguam Rodzim Zaimy Abdul Hamid mewakili Chew sementara lima tertuduh lain tidak diwakili peguam. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, bunuh, rakan, pemandu e-hailing, dakwa