Kes bunuh pensyarah Palestin, polis tunggu maklumat Interpol, kedutaan


  • 112
  • Rabu, 12 Jan 2022

KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani masih menunggu maklumat daripada agensi berkaitan. — Bernama

POLIS masih menunggu perincian maklumat melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa Palestin berhubung kes pembunuhan seorang pensyarah Palestin di Malaysia pada 2018.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, antara pihak yang terlibat ialah Kedutaan Besar Palestin di Malaysia, Polis Antarabangsa (Interpol) dan lain-lain agensi di dalam dan luar negara.

"Kami masih menunggu maklumat daripada beberapa pihak yang kami percaya dapat beri pencerahan kepada isu berkenaan dalam melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Isnin lepas, polis memaklumkan akan memohon agar suspek kes pembunuhan pada 2018 yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin pada Ahad lepas, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Interpol.

Terdahulu pada 21 April 2018, Dr Mohamed Fadi Al Batsh, seorang pensyarah dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak, Kuala Lumpur, menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram