Pengembara ada rekod Covid-19, lengkap vaksin tidak perlu kuarantin


  • Primer
  • Rabu, 12 Jan 2022

PENGEMBARA dengan sejarah dijangkiti wabak itu hendaklah lengkap divaksin dan mengemukan bukti penerimaannya. — The Star

PENGEMBARA yang pernah dijangkiti Covid-19 dan telah lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin wajib setibanya di Malaysia, namun masih perlu melakukan ujian pengesanan wabak menggunakan RTK antigen (Ag) di pintu masuk antarabangsa (PMA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi pengembara yang belum menerima vaksinasi lengkap atau tidak divaksin, mereka akan menjalani kuarantin wajib tujuh hari di stesen kuarantin setibanya di negara ini serta melakukan ujian pengesanan Covid-19.

"Berdasarkan data dan bukti saintifik serta pengalaman negara lain berkaitan pengurusan kemasukan pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19, kerajaan mengambil pendekatan bahawa pengembara dengan sejarah dijangkiti wabak itu hendaklah lengkap divaksin dan mengemukan bukti penerimaannya.

"Pengembara juga perlu mengemukakan bukti dijangkiti wabak itu dalam tempoh 11 hari hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia, melalui keputusan ujian makmal yang dicetak atau secara digital.

"Pengembara yang mempunyai sejarah kemasukan ke hospital kerana dijangkiti Covid-19 perlu mengemukakan surat 'Fit to Travel' daripada pengamal perubatan di hospital terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairy berkata, perkara itu antara prosedur operasi standard (SOP) terkini bagi pengembara dengan sejarah jangkitan wabak itu yang akan berkuat kuasa mulai Khamis.

Jelasnya, Malaysia masih mengamalkan prosedur kawalan sempadan termasuk pengujian dan kuarantin ke atas pengembara yang tiba ke negara, justeru kes dengan ujian RT-PCR positif tidak dibenarkan masuk.

Katanya, bagi pengembara yang menjalani isolasi atau pengasingan di tempat kediaman termasuk hotel kerana dijangkiti Covid-19 dan tidak dimasukkan ke hospital, mereka perlu menjalani ujian saringan RTK Ag profesional dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.

"Hanya individu dengan keputusan negatif sahaja dibenarkan meneruskan perjalanan. Kesemua dokumen berkaitan hendaklah dibawa dan ditunjukkan kepada pihak berkuasa penerbangan dan kesihatan di pintu masuk, sekiranya diminta,” katanya.

Sementara itu bagi pengembara yang tidak pernah dijangkiti Covid-19, ketetapan semasa masih terpakai dan sebarang perkembangan mengenai situasi dan ketetapan baharu bagi pengembara akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram