
PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan yang dia pernah ditawarkan sebuah bangunan di Kuala Lumpur dan wang jutaan ringgit untuk badan bukan kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Firdaus yang juga Presiden MRM berkata, tawaran itu diberikan untuk kerja amal dan dakwah namun ditolak kerana bertentangan dengan prinsip MRM.
“Pada Februari 2017, saya dihubungi setiausaha kepada seorang individu kenamaan (VVVIP) di Malaysia mengatakan VVVIP tersebut mahu berjumpa dengan saya.
“Perjumpaan kami berlangsung hampir sejam. Beliau tahu serba sedikit tentang usaha dakwah dan kebajikan kami di Multiracial Reverted Muslims - MRM dan beliau menawarkan satu bangunan di bandar raya Kuala Lumpur kepada kami secara percuma.
“Beliau mahu memberikan bangunan itu kepada MRM dengan syarat kami melakukan projek pemberian makanan kepada gelandangan dan projek-projek kebajikan lain yang bukannya sebahagian dari visi dan misi utama kami di MRM,” katanya.
Namun menurut Firdaus, dia terpaksa menolak kerana pihaknya tidak mempunyai kepakaran dan risau tidak mampu menjalankan tugas itu dengan baik.
Malah katanya, tugas tu juga bukan sebahagian daripada visi dan misi utama mereka,” katanya.
“Pada tahun yang sama, seorang VIP juga telah menghubungi saya dan ingin berjumpa. Dalam perjumpaan itu, beliau telah memaklumkan beliau mempunyai dana jutaan ringgit dan beliau boleh memberikan RM2 juta kepada MRM untuk dakwah tetapi bersyarat. Apakah syaratnya?
“Syarat beliau adalah agar MRM mengubah cara berdakwah dengan tidak bercakap tentang perbandingan agama dan tidak menjawab syubhah terhadap Islam,” katanya.
Menurut Firdaus, tawaran itu ditolak kerana pemintaan individu itu bercanggah dengan visi dan misinya di MRM.
Malah, dia juga memberitahu ada yang mempertikai mengapa dia menolak dan memujuk supaya dia mengambil duit tersebut.
“Mungkin juga ada yang akan kata kami bodoh kerana terlepas RM2 juta kerana enggan mengubah pendekatan dakwah kami.
“Ya mungkin kami bodoh kerana enggan mengubah pendekatan untuk mendapatkan RM2 juta tersebut tetapi apa kami nak jawab di depan ALLAH apabila kami memungkiri janji kami kepada VIP tersebut ketika menerima sumbangannya?” katanya.
Tambah Firdaus, tak mengapa tidak dapat harta dan duit kerana berpegang pada prinsip kerana yang perlu ditakuti adalah jika kita miskin jiwa dan prinsip. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram