Gaduh 'berjemaah' dekat monorel Bukit Bintang, ini respons polis


  • Tular
  • Selasa, 11 Jan 2022

TANGKAP layar rakaman pergaduhan melibatkan sekumpulan individu berhampiran monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Isnin. — Facebook

BARU-BARU ini tular di media sosial berkenaan sebuah rakaman video yang memaparkan pergaduhan sekumpulan individu berhampiran monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menerusi video berdurasi 22 saat itu, kejadian dipercayai berlaku pada Isnin kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Video itu juga memaparkan sekumpulan golongan remaja bergaduh namun tidak dapat dipastikan punca kejadian tersebut berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kejadian berlaku berhampiran monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Kita sedang menjalankan pengesanan ke atas kumpulan individu yang terlibat sebaik sahaja video tersebut tular.

"Individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh tampil untuk membantu siasatan," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, pihaknya juga memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan IPD Dang Wangi di talian 03- 26002222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram