LADANG ternakan yang dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) di Sibu, Sarawak akan ditutup manakala semua ternakan dimusnahkan serta dikurangkan jumlahnya, serta bangkai babi dilupus dengan cara ditanam di dalam kawasan ladang.
Ini dilakukan selepas ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) oleh Makmal Diagnostik Veterinar negeri pada Isnin mengesahkan bahawa sampel yang diambil dari tiga ladang belakang rumah di Durin, 38 kilometer dari Sibu, positif penyakit tersebut.
"Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah menggerakkan kakitangannya bagi menentukan tahap rebakan wabak itu dan mengambil semua tindakan yang perlu bagi membendung penyakit daripada merebak ke ladang babi yang lain," kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tiada rawatan atau vaksin tersedia untuk merawat atau mengawal ASF, yang sangat ganas dan mudah berjangkit tetapi tidak berbahaya kepada manusia serta bukan penyakit zoonosis.
Namun, menurutnya, penyakit tersebut boleh membawa kerugian serius kepada penternak dan memberi kesan kepada keselamatan makanan.
Rundi berkata, kementeriannya dan DVSS telah mengadakan beberapa libat urus dengan penternak babi supaya mereka meningkatkan biosekuriti ladang masing-masing, termasuk menghalang orang luar datang melawat ladang.
Katanya, pengawasan klinikal dan serologi sedang dijalankan dengan spesimen diambil untuk diagnosis makmal.
"Kami juga menasihatkan penternak babi supaya tidak memberi makan ternakan mereka dengan sisa makanan dari restoran atau dapur kerana virus ASF dalam produk daging babi yang tercemar dapat bertahan dalam proses memasak dan menjadi sangat tahan, selain boleh menyebabkan jangkitan ASF pada babi," katanya.
Beliau berkata, Bahagian Kawal Selia DVSS akan terus menguatkuasakan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 bagi memastikan daging dan produk babi yang diimport adalah dari negara bebas ASF.
Pada masa ini, pengimportan daging dan produk babi ke Sarawak dari negara yang dijangkiti penyakit tersebut termasuk dari Semenanjung dan Sabah, telah diharamkan.
"DVSS akan terus melakukan pemeriksaan di lapangan terbang, pelabuhan dan kedai bagi memastikan daging dan produk babi yang dibawa masuk secara haram tidak dijual kepada orang ramai. Semua import mesti memerlukan permit import dan penyeludup akan dikenakan tindakan tegas di sisi undang-undang," katanya.
Bagi mengelak ia merebak ke bahagian lain di Sarawak, Rundi memohon kerjasama daripada semua pihak berkepentingan terutamanya penternak babi untuk meningkatkan kewaspadaan dan biosekuriti ladang mereka.
Mereka boleh menghubungi pejabat DVSS berhampiran atau WhatsApp ke talian hotline Bahagian Kawal Selia di 016-284 0918 jika ada sebarang pertanyaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram