Gagal penuhi syarat perlesenan, 34 ladang babi ditutup di Perak


  • Primer
  • Rabu, 24 Nov 2021

HNAYA 97 ladang khinzir yang masih beroperasi di Perak setakat ini. — Gambar hiasan

AKIBAT tidak memenuhi syarat perlesenan sejak penguatkuasaan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992 dan Kaedah-Kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009 (Lesen), sebanyak 34 ladang khinzir diarah untuk ditutup di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, sejak enakmen itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2010, sebanyak 131 lesen penternakan khinzir telah dikeluarkan pada tahun sama.

“Pada Januari tahun ini, sebanyak 103 ladang khinzir telah dilesenkan, tiga ladang ditutup dan tiga lagi dalam proses penutupan menjadikan jumlah yang masih beroperasi hanya 97 setakat ini,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau pada Rabu.

Mengulas penyelesaian isu pembuangan air najis khinzir dan pelepasan air lebihan dari kawasan ladang, Mohd Akmal berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertindak sejajar dengan peruntukan enakmen itu bagi memastikan kelestarian alam sekitar terutama dalam pengawalan pencemaran sungai yang sering berlaku.

“JPV menetapkan had parameter pelepasan efluen yang disalurkan keluar dari ladang penternakan khinzir mestilah bacaan keperluan oksigen biokimia kurang daripada 50 ppm dan keperluan oksigen kimia kurang daripada 500 ppm sepertimana yang terkandung dalam jadual kedua enakmen tersebut,” katanya sambil menambah persampelan air kumbahan dijalankan dua kali setahun oleh pegawai JPV iaitu fasa pertama pengambilan sampel antara Januari hingga Jun dan fasa kedua antara Julai hingga Disember.

Beliau berkata, ladang berdekatan sungai disaran mengguna pakai konsep sistem sifar pelepasan iaitu merawat air kumbahan menggunakan bahan kimia dan digunakan semula sebagai air membasuh kandang.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram