SEGALA-galanya bermula tanpa rela apabila seorang kanak-kanak lelaki diugut rakan di platform permainan video online supaya menghantar video lucahnya atau berdepan risiko kehilangan akaun buat selama-lamanya.
Bimbang dengan ugutan terbabit, kanak-kanak terbabit yang baru berusia 12 tahun ketika itu, kemudiannya merakam video dia sedang beronani sebelum menghantarnya kepada individu terbabit.
Tanpa sedar, insiden itu serta pendedahan seks secara berleluasa di platform permainan online akhirnya membuatkan kanak-kanak itu ketagih pornografi, seperti mana yang dikongsikan ibu kanak-kanak terbabit.
Berkongsi trauma terpaksa dilaluinya tahun lepas, wanita terbabit yang enggan dikenali mengakui berasa amat terkejut serta marah apabila akhirnya mendapat tahu mengenai aktiviti sosial anaknya itu.
"Saya dapat tangkap anak, masa tu dia tengah buat aktiviti seks terhadap diri sendiri, kemudian saya terjumpa dalam telefon saya yang dia guna, rupa-rupanya ada kawan dia dalam permainan tu minta dia rakam diri sendiri kemudian hantar dekat chat dalam ruangan permainan tersebut.
"Masa tu saya sangat terkejut, saya tahu lelaki ada perasaan ingin tahu, mereka ingin bercakap mengenai perempuan, seks, saya boleh terima tapi bila saya dapat tangkap dia buat macam tu saya terkejut, sudah tentulah saya marah," ceritanya kepada Majoriti.
Beliau kemudiannya memeriksa perbualan di antara anaknya serta rakan-rakan di ruangan permainan video dalam talian tersebut serta group WhatsApp yang disertai anaknya.
"Lepas memarahi anak, kami ada duduk berbincang, dia mengaku individu terbabit cakap 'kalau awak tak buat macam ni (hantar video bogel), saya akan block game awak, tak bagi naik level atau saya akan pastikan yang profile awak dibuang', disebabkan anak saya naif, jadi dia ikut.
"Lepas beberapa kali melakukannya (onani), saya syak dia mula rasa seronok, tambahan pula 'kawan perempuannya' yang berusia 12 tahun juga cakap 'okay saya akan hantar video saya buat benda sama pada awak, kemudian awak perlu buat benda yang sama', tapi lepas sampai satu masa, permintaan itu bertukar menjadi ugutan.
"Kalau tengok dalam chat room permainan video tu mereka semua memang berdiskusi mengenai porno, grup Telegram, kemudian mereka berkongsi link macam mana nak tengok video porno yang tidak dihalang, bila baca grup WhatsApp pun sama, mereka bercakap mengenai perkara ini macam ia perkara biasa," katanya yang mengakui menangis kecewa apabila mendapat tahu mengenai perlakuan anaknya itu.
Nekad untuk memastikan anaknya tidak melakukan kesilapan yang sama, wanita terbabit kemudiannya menghalang remaja itu daripada menggunakan telefon pintar tanpa pengawasan.
"Saya muat turun satu aplikasi OurPact Jr yang mana saya boleh halang dan awasi apa yang dia boleh lihat, saya beritahu dekat dia kalau dia ulang lagi perkara sama, dia tak akan dibenarkan untuk buat apa pun yang dia suka termasuk bermain bola sepak.
"Aplikasi tersebut membenarkan dia buka permainan video atau laman web hanya jika saya beri kebenaran, jadi ada sekali tu dia perlukan akses pada internet untuk buat kerja sekolah, saya beri dia kebenaran tapi lepas tu saya lupa nak 'off'.
"Bila saya tengok history apa yang dia tengok, saya nampak dia memang buka semula (laman pornografi), semuanya dari permainan video tersebut," katanya kecewa.
Menurut wanita terbabit, pengetahuan dan cara individu di platform permainan online terbabit berkomunikasi juga membuatkan dirinya percaya bahawa mereka sebenarnya adalah orang dewasa, bukannya kanak-kanak seusia anak lelakinya.
"Bila saya tengok perbualan dia dengan 'kawan perempuan' itu, tak ada gambar profil, saya tanya anak 'awak pasti ke dia ni perempuan, perempuan umur 12 tahun tak akan cakap nak block game atau buat benda-benda macam ini'.
"Saya beritahu anak pemilik akaun ni mesti lelaki, masa tu dia terkejut sangat sebab dia rasa macam benda tu mustahil," katanya.
Katanya, 'rakan-rakan' anaknya di platform permainan video terbabit juga sangat mahir untuk memancing individu lain bercakap untuk turut bercakap mengenai perkara-perkara jelik.
"Perbualan mereka mula-mula pasal game lepas tu dia selit cakap 'big boobs macam karakter ini', saya tak tengok secara mendalam perbualan mereka, tapi daripada apa yang saya nampak, orang-orang dalam platform terbabit tahu apa yang dia lakukan, dia tahu macam mana nak mulakan perbualan lucah.
"Mereka memang ada ilmu dan mereka tahu macam mana nak tarik budak-budak ini supaya turut serta dalam perbualan dan bercakap secara terbuka," katanya sambil menambah, segala perbualan adalah dalam bahasa Melayu.
PERBUALAN di ruangan chat salah sebuah platform permainan video dalam talian.
Sedar bahawa anaknya sudah terdedah kepada pengetahuan ilmu seks sebelum waktunya, wanita terbabit kemudiannya memilih untuk menerangkan mengenai kesan baik buruk perbuatannya itu.
"Saya sedar saya dah tak boleh halang dia, kalau saya halang dia pun dia akan jadi lebih kreatif untuk nak cari jalan macam mana nak tengok video-video lucah terbabit, jadi saya cuba untuk didik dia mengenai apa yang betul dan apa yang salah.
"Siapa yang boleh melakukan hubungan seks, bila, selepas mereka berkahwin, kemudian saya beritahu dia, bayangkan sekarang dia teruja tengok perempuan, macam mana kalau orang lain buat benda sama dekat adik dia, kesan pada kesihatan dan lain-lain.
"Selapas itu dia mula berubah, dia cakap dia tak nak buat lagi, ya, mula-mula benda tu seronok, dia tahu benda tu salah, tapi dia tak tahu apa kesannya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram