PERMAINAN video berkonsepkan multipemain secara online yang menjadi kegilaan kanak-kanak serta remaja, kini didakwa menjadi 'taman permainan' buat golongan pedofil memburu mangsa.
Berselindung di sebalik akaun dengan nama palsu, penjenayah seksual ini terlebih dulu akan mendampingi sasaran mereka sebagai salah seorang pemain bagi mendapatkan kepercayaan mangsa.
Selain berganding bahu dalam permainan di alam maya tersebut, ada di antara mereka yang cuba 'membeli' hati pengguna muda dengan menawarkan 'diamonds', yang dikumpul pemain permainan video untuk membeli watak 'hero' atau kostum buat 'hero' mereka.
SKIN atau kostum yang menjadi buruan gamers.
Predator seks ini turut mengambil kesempatan di atas kenaifan pemain untuk memeras ugut supaya menghantar gambar atau video bogel mereka untuk mengelak daripada akaun mangsa diharamkan atau dihalang untuk meningkat naik ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Trend terbaharu yang membimbangkan ini turut diakui Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dalam satu wawancara ekslusif bersama Majoriti.
Jelasnya, pihak polis ada menerima laporan mengenai kanak-kanak yang menjadi mangsa ugut predator seks yang dikenali di platform permainan multipemain.
"Kebanyakan yang jadi mangsa adalah budak lelaki, golongan pedofil akan cakap 'tak apa saya boleh bagi topup tapi awak kena bagi gambar kemaluan', jadi budak ni bagi.
"Bila suspek minta gambar lagi budak ni mula takut, jadi baru dia maklumkan pada ibu bapa yang kemudiannya membuat laporan polis," katanya sambil menambah, kes sebegini boleh disiasat dibawah kesalahan amang seksual bukan fizikal.
PERBUALAN di ruangan chat di salah sebuah platform permainan dalam talian.
Sementara itu, berkongsi pengalamannya sebagai seorang streamer, Hidayah Woon Yin Yin berkata, dia sering kali menerima mesej peribadi daripada individu tidak dikenali yang mengajaknya untuk melakukan panggilan video seks.
"Saya akan dapat mesej ajak untuk buat VCSEX (video call sex), tapi kebiasaannya saya akan block dan abaikan supaya mereka tak boleh kacau saya lagi.
"Saya akan dapat dua tiga kali mesej macam tu dalam masa sebulan, tapi kadangkala lebih daripada itu," katanya.
MESEJ yang diterima Hidayah.
Menurut Hidayah, ada di antara mereka yang menawarkan 'diamonds' atau 'skin' (kostum buat avatar) sekiranya mereka menghantar video lucah.
"Memang menjengkelkan bila dapat mesej macam ni, jadi kebiasaannya saya akan tukar gambar profil dengan nama," katanya yang aktif bermain permainan seperti Mobile Legends dan Pokemon Unite.
Tambah Hidayah, sesetengah pemain yang tanpa segan silu menggunakan ruangan chat dalam permainan video untuk bercakap mengenai perkara-perkara tidak senonoh dan berbaur lucah.
PERBUALAN berbaur lucah di ruangan chat salah sebuah permainan dalam talian.
"Perbualan mereka semakin menjadi-jadi pada waktu malam, saya rasa jijik tengok, mereka ni sepatutnya dihantar ke kem perang macam dekat Palestin supaya mereka tak ada masa nak fikir tentang seks sepanjang masa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram