EKSKLUSIF

'Predator' seksual buru pengguna tagih 'live', 'gift' di media sosial


  • Massa
  • Isnin, 03 Jan 2022

MAJORITI wanita yang menjana pendapatan di media sosial mudah terdedah serta menjadi buruan predator seks.

KEGHAIRAHAN pengguna menjana pendapatan melalui jumlah tontonan, serta fungsi pemberian hadiah di media sosial dieksploitasi predator (pemangsa) seksual bagi mencari mangsa.

Menawarkan bayaran lumayan sehingga RM800 untuk tempoh 30 minit 'beraksi', pengguna media sosial ini dikatakan hanya perlu 'berbual secara maya' dan melakukan aksi-aksi ghairah, sementara penjenayah ini memuaskan nafsu masing-masing.

Namun apa yang membimbangkan adalah 'sesi perbualan' ini dirakam tanpa pengetahuan mangsa seterusnya dikhuatiri akan digunakan untuk mengugut mangsa bagi mendapatkan imbuhan tambahan.

Selain jumlah tontonan, pengguna sosial media turut menagih "gift" daripada penonton. "Gift" ini boleh ditukarkan kepada wang ringgit.

Semakan wartawan Majoriti mendapati video-video perbualan dengan aksi lucah dan jelik ini tersebar di laman web pornografi seperti Pornhub, Xhamsters serta platform media sosial lain seperti Facebook, YouTube serta akaun Telegram.

Video yang dirakam dari laman Bigo dikongsikan di Youtube serta laman web porno.

Seorang pengguna akaun Bigo Live yang hanya ingin dikenali sebagai Cindy mendakwa, dia sering menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang menawarkan bayaran tertentu untuk pelbagai jenis tugasan.

“Mereka akan hantar mesej seperti RM300 untuk 10 minit, atau kadang-kadang mereka letak emoji percikan air tu, ada juga yang kata untuk karaoke, bersembang tapi mereka minta kita berpakaian seksi supaya mereka membolehkan memuaskan nafsu," dakwanya.

Antara cara penjenayah seksual ini cuba menarik mangsa.

Malah menurut Cindy, ada kalangan predator ini yang tanpa rasa gentar akan terus menghantar gambar lucah mereka bagi mencuba nasib untuk menarik perhatian pengguna media sosial terbabit.

Tambahnya, ini membuatkan dia amat khuatir akan keselamatan pengguna media sosial, terutama sekali golongan remaja atau kanak-kanak yang turut menggunakan platform yang sama.

Menurut Cindy, dia pernah menerima pelawaan beberapa predator seksual ini semata-mata untuk melihat sendiri 'modus operandi' mereka.

“Masa saya cuba pancing seorang lelaki ini, dia mengaku mengambil rakaman video dan dia screen record semua benda, kemudian dia ugut untuk sebarkan video ke laman web Xhamsters.

“Saya tak berpakaian mencolok mata masa tu, tapi bayangkan kalau kanak-kanak atau remaja wanita lain yang mungkin buat secara sukarela, kemudian mereka tidak sedar yang rakaman video mereka mungkin disebarkan dalam platform media sosial dan aplikasi mesej seperti kumpulan Y2K (kumpulan Telegram yang dikatakan menyebar bahan lucah),” katanya.

Individu terbabit cuba untuk menggugut Cindy dengan mengatakan bahawa video perbualan singkat mereka akan disebarkan ke laman web lucah.

Menurut Cindy, seorang lagi lelaki dikatakan menawarnya RM800 untuk 'satu panggilan video'.

“Dia tak cakap spesifik bila tapi dia hantar gambar emoji 'percikan air'. Saya agak dia nak saya tengok dia melakukan onani.

“Bila saya jawab panggilan, dia terus melakukan 'aksinya' sambil paksa saya tunjuk payu dara saya,” katanya.

Jelasnya, predator ini amat berhati-hati dan mereka tidak akan mendedahkan wajah dan hanya bersuara apabila perlu.

“Saya risau mereka ini akan rakam video wanita yang melayani panggilan telefon mereka kemudian gunakan rakaman ini untuk peras ugut atau sebarkan dalam group-group lucah,” katanya.

Memandangkan mereka dilarang menulis perkataan yang boleh membawa makna tidak baik, penjenayah seksual ini akan menghantar gambar atau menggunakan emoji untuk menyampaikan maksud mereka.

Sementara itu seorang lagi pengguna media sosial, Jenny Yati Jus, 21, berkata, dia sedang bersiaran langsung di laman Bigo apabila dia menerima permintaan dari seorang individu untuk masuk ke dalam siaran langsungnya.

“Bila saya approve, muncul video dia tengah buat 'benda tu' (onani). Jadi cepat-cepat saya buang, lepas tu saya block dia sebab dia masih lagi hantar request untuk masuk siaran langsung saya,” katanya.

Rakannya, Ricca Robert, 21, yang bekerja sebagai seorang pegawai khidmat pelanggan turut berkongsi pengalaman yang sama.

“Bila perempuan baru nak jadi host (di Bigo), lelaki-lelaki gatal ni akan berpusu-pusu nak masuk 'siaran langsung' kita, mereka ini buat akaun sekadar untuk memuaskan nafsu sebab mereka anggap Bigo ini tempat mereka boleh dapat wanita “sebegitu”.

“Jadi mereka masuk 'room' (siaran langsung) saya, lepas tu dia komen cakap 'nak tengok tak', saya ingat mereka bergurau. Apabila dia 'join room' (sertai siaran langsung), mula-mula dia tunjuk kaki, lepas tu baru dia 'tunjuk semua'.

“Masa tu saya memang terkejut sebab saya masih baru kan, tapi Bigo ni ada admin jadi mereka cepat-cepat tendang keluar pengguna tu dari siaran langsung sebab kalau tak Bigo akan banned video saya,” katanya.

Bukan hanya pengguna wanita, ada juga pengguna lelaki yang mengakui turut menjadi mangsa gangguan seksual di platform Bigo.

“Ada seorang ni hantar mesej kepada saya dia hantar gambar separuh badan, dia minta RM200 untuk video call bogel. Saya transfer (duit), kemudian masa video call tu saya buka azan dekat YouTube untuk sedarkan dia,” ujar seorang lagi pengguna Bigo, Jema Rahing Resking, 30, yang berasal dari Sabah. — Majoriti

Nantikan maklumbalas PDRM esok.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

media sosial, Bigo, TikTok, predator seksual