Obor-obor beracun muncul semula di Terengganu


  • Primer
  • Ahad, 09 Jan 2022

Gambar obor-obor beracun yang terdampar di persisir pantai di Terengganu. — Facebook

WARGA Terengganu khususnya pelancong dari luar diminta berhat-hati selepas obor-obor beracun atau nama nama saintifiknya, physalia physalis dilihat muncul kembali di persisiran pantai negeri itu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, obor-obor itu didapati berada sekitar pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga di daerah Marang.

"Setakat pagi Ahad, kita menemukan empat ekor obor-obor yang terdampar di pantai. Tinjauan masih lagi dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi obor-obor spesies sama yang terdampar di kawasan pantai.

"Fasa musim Monsun Timur Laut pada masa ini menjadi antara faktor obor-obor berkenaan terdampar di perairan Pantai Timur.

"Kali terakhir spesies hidupan beracun itu dilihat di perairan Pantai Timur pada Februari 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Ruzaidi, kajian sebelum ini pernah merekodkan lebih 1,000 obor-obor itu terapung di perairan Lautan Hindi dan ia bergerak dengan cara hanyut dibawa arus atau angin.

Jelasnya, untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika.

Dalam pada itu, Ruzaidi meminta orang ramai supaya lebih berwaspada dengan kemunculan hidupan itu.

Tambahnya, purata panjang sulur sesungut spesies itu boleh mencapai lebih sembilan meter panjang dan diliputi oleh nematocyst yang dipenuhi racun digunakan untuk melumpuhkan, membunuh ikan dan makhluk kecil lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram