PEMAIN tengah muda, Syahir Bashar yang berpindah ke Selangor dari Perak baru-baru ini, sedang mengintai peluang untuk mengecapi kejayaan bersama pasukan tersebut.
Dia dijangka menyerlah sebagai pemain sayap untuk skuad Gergasi Merah selepas jurulatih, Michael Feichtenbeiner melihatnya sebagai 'senjata' yang berpontesi di bahagian sayap.
Dengan versatiliti menjadi salah satu ciri istimewa yang ada pada Syahir, dia bersedia menerima peranan berkenaan.
"Feichtenbeiner memberitahu saya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kelab lebih cepat dan bersedia dengan gaya permainannya, yang menekankan transisi pantas daripada pertahanan kepada serangan.
"Saya mahu melakukan impak segera dan saya tidak kisah Feichtenbeiner mahu meletakkan saya di bahagian sayap," ujarnya.
Tambah Syahir, perpindahan ke Selangor memberi peluang besar kepadanya untuk mencipta nama tetapi dia mengakui bukan mudah untuk meninggalkan negeri kelahirannya iaitu Perak.
"Saya tinggal di Ipoh sepanjang hidup saya. Saya berfikir masak-masak sebelum meletakkan tandatangan tetapi akhirnya, ia adalah keputusan yang pasti lebih baik untuk masa depan saya.
"Saya sudah berada di Shah Alam. Saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan yang dahagakan kejayaan ini serta pada masa sama, seronok dapat bertemu bekas senior saya di Perak iaitu Norhakim Hassan dan Shahrel Fikri Md Fauzi," menurutnya.
Syahir merupakan pemain baharu ketujuh yang dibawa masuk oleh Selangor menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas Samuel Sommerville, Yazan al-Arab, Baha Abdelrahman, Zahril Azril Zabri, Fazly Mazlan dan Herlison Caion. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram