PADA Rabu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi penjelasan berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang terlalu tinggi.
Menurut Azam, akaun peribadi miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki bagi urusan pembelian saham.
Ujar beliau, isu penggunaan akaun tersebut untuk membeli saham tidak sewajarnya menjadi isu besar.
“Saya tidak melihat ia satu isu kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka.
“Jika ia satu kesalahan beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut perancang kewangan Islam, Aliff Shanusi di laman Twitter, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) merupakan akaun persendirian dan tidak boleh digunakan oleh orang lain.
"Untuk masukkan duit ke dalam CDS, perlu menggunakan akaun sendiri dan tidak boleh menggunakan akaun lain.
"Ranap, ranap buat kenyataan sebegini. Perbuatan salah, cara salah dan menyalahkan orang lain," jelasnya.
Bagi yang tidak mengetahui, akaun CDS berfungsi untuk menyimpan dan mengemas kini saham setelah anda membuat urusan belian dan jualan.
Terdahulu, Azam didakwa terlibat dalam salah laku yang membabitkan beberapa pegawai-pegawai tinggi di agensi suruhanjaya berkenaan.
Malahan, sekumpulan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa agar pendedahan penuh dibuat terhadap semua aset yang dipegang oleh Azam termasuklah isteri, anak-anak dan juga mereka yang mempunyai pertalian dengannnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram