PADA Selasa, tular satu video seorang mangsa kemalangan mendakwa seorang pemandu treler mabuk hingga menyebabkan dengan tiga kenderaan lain dalam kejadian di Sungai Buloh, Selangor.
Bagaimanapun, pihak polis memaklumkan bahawa pemandu terbabit sebenarnya mengalami serangan jantung hingga menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan.
Sebagai mangsa yang terlibat dengan kemalangan, pasti ada dalam kalangan kita yang mahu merakam insiden terbabit untuk dijadikan bukti ketika berurusan dengan polis dan pihak insurans.
Begitulah yang terjadi kepada perakam video tersebut tanpa mengetahui sebab sebenar di sebalik apa yang berlaku kepada pemandu berkenaan hinggalah laporan berita menyebut bahawa dia meninggal dunia akibat sakit jantung.
Menjadikan situasi itu satu iktibar, terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan ketika berdepan situasi tidak kiralah jika terbabit atau terlihat kemalangan.
Doktor perubatan rehabilitasi, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, terdapat pendekatan 3S yang perlu dielakkan dan boleh dipraktikkan ketika mendepani situasi sedemikian. 3S yang perlu dielakkan ialah seperti berikut:
1. Sangsi
Elakkan sangsi dan buruk sangka pada mangsa. Ia akan mempengaruhi pertimbangan serta tindakan kita sebagai penyelamat, pembantu atau saksi. Tindakan pantas kita pula boleh mengubah nasib mangsa atau nasib kita.
2. Sebar
Elakkan merakam keadaan mangsa kerana ia melibatkan privasi dan kehormatan mereka. Jauhi juga perbuatan menyebarkan rakaman yang paparkan keadaan mangsa melalui media sosial tidak kira atas niat apa sekalipun.
3. Songlap
Elakkan cubaan mengambil apa-apa dari kawasan kemalangan. Kawasan kemalangan adalah kawasan siasatan. Mengambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain boleh menyusahkan mangsa dan diri sendiri. Jika tak elakkan 3S ini, maka anda berisiko mendapat S keempat, iaitu sesal.
4 . Selamat
Pastikan tiada di sekeliling anda apa-apa yang boleh anda, mangsa atau sesiapa berhampiran. Jika ada bahaya, alihkan penyebabnya. Jika bahaya tidak boleh dialihkan, maka elakkan berada di kawasan berkenaan.
5. Sedar
Periksa keadaan pesakit. Lihat sama ada mangsa sedar atau tidak. Sapa, tepuk bahu atau goyang tubuh sedikit mangsa. Jika pesakit memberi respons, tanya sama ada dia okay atau tidak. Jika tidak sedar, dapatkan bantuan.
6. 999
Hubungi 999 untuk dapatkan bantuan. Anda akan disambungkan ke pusat Khidmat Respons Kecemasan Malaysia. Beritahu operator tentang butiran diri anda, kecemasan, lokasi dan keadaan mangsa. Ikut arahan operator di talian.
Jika pesakit tak sedarkan diri, dan anda tahu serta yakin untuk lakukan bantuan kecemasan (CPR), maka berilah bantuan sewajarnya. Jika tidak, serahkan pada yang mampu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram