Pemandu treler sakit jantung, bukan mabuk — Polis


  • Tular
  • Selasa, 04 Jan 2022

TANGKAP layar rakaman video tular menunjukkan seorang wanita menuduh pemandu treler berkenaan mabuk selepas melanggar tiga buah kereta.

VIDEO tular yang mendakwa seorang pemandu treler mabuk sehingga menyebabkan kemalangan dengan tiga kenderaan lain adalah tidak benar, sebaliknya lelaki itu mengalami serangan jantung dan disahkan maut ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya mengesan satu video tular yang memaparkan insiden kemalangan tersebut yang berlaku di Jalan BRP 8/2, Sungai Buloh pada Isnin.

"Pemandu itu dipercayai sakit dada sehingga menyebabkan lorinya hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan.

"Pada jam 12.09 tengah hari sama, lelaki itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh. Punca kematian adalah 'myocardial infarction' (serangan jantung)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati waris keluarga lelaki tersebut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada Isnin, sebuah video tular di laman sosial selepas seorang wanita merakam insiden kemalangan tersebut dan menuduh pemandu lori berkenaan mabuk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram