TFC lengkapkan kuota awang import kelapan


  • Podium
  • Ahad, 02 Jan 2022

OTT sebelum ini beraksi dengan pasukan Melaka United. — Facebook

Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd mengikat pemain kacukan Filipina-Jerman, Manuel Gelito Ott sekali gus melengkapkan kuota lapan pemain importnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain berusia 29 tahun yang dilahirkan di Munich, Jerman itu dipilih bagi mengisi kuota Asean menggantikan Carli De Murga yang tidak disambung kontrak.

"Manuel Ott telah mempamerkan prestasi cemerlang ketika bersama Melaka United.

"Beliau telah beraksi dalam hampir kesemua perlawanan ketika bersama skuad Hang Tuah musim lalu dan antara watak penting yang membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain Ott, tonggak import skuad Penyu turut dibarisi oleh Argzim Redzovic, Kipre Tchetche, Kpah Sherman, Jordan Mintah, Pape Diakite, Luke Woodland dan Habib Haroon.

Sebelum menyertai Melaka United dan skuad Penyu, Ott yang juga pemain kebangsaan Filipina pernah bermain di Liga Thailand dengan menyarung jersi kelab Ratchaburi Mitr Phol FC.

Sementara itu, Ott berkata, beliau memilih berhijrah ke Terengganu kerana tertarik dengan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Selain itu, beliau teruja untuk bergandingan dengan barisan pemain import baharu skuad penyu yang berkualiti dan memiliki reputasi baik di Liga-M. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, TFC, nafuzi zain, manuel ott, liga M, import